Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan
Kami adik beradik 6lelaki 6wanita.ibu telah meninggal dunia, soalannya
Salah seorang anak lelaki telah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum ibu kami..
Adakah layak cucu iaitu anak lelaki arwah berhak pada faraid neneknya
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, cucu dari arwah anak lelaki yang telah meninggal dunia dahulu sebelum nenek berhak mewarisi harta pusaka neneknya secara wasiat wajibah merujuk undang-undang yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) (Pindaan) 2016 serta Fatwa Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah yang diwartakan pada 6 Januari 2011 dan 26 April 2018 iaitu;
(i) Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima wasiat wajibah.
(ii) Hendaklah kedua ibu dan bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada atuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan atuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
(iii) Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardhu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat wasiat wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding wasiat wajibah.
(iv) Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak mendapat wasiat wajibah daripada harta pusaka datuknya.
(v) Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucunya melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat wasiat wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan, maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
(vi) Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3, maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli warisnya yang lain.
(vii) Pembahagian wasiat wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
(viii) Pembahagian wasiat wajibah kepada cucu lelaki dan perempuan yang berhak adalah berdasarkan kepada hukum faraid iaitu mengikut nisbah yang telah ditentukan oleh Syarak.
Sekian, terima kasih.