Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Anak mempertahankan kucing (baru beranak) dan melawan kepada ibunya kerana kucing kesayangannya (baru beranak) di pukul dan berniat yang tidak baik terhadap kucing tersebut. Jadi, apakah masalah yang perlu diselesaikan dan adakah perbuatan anak tersebut salah disisi agama dan kemanusiaan terhadap haiwan peliharaan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, niat si anak untuk melindungi kucing tersebut adalah perbuatan yang baik dan murni akan tetapi, dalam masa yang sama hendaklah menjaga hubungan dengan ibunya. Ini kerana di dalam agama Islam adalah wajib si anak menghormati orang tuanya. Adalah sebaiknya dalam hal ini difikirkan cara yang terbaik untuk menjaga haiwan tersebut sama ada disediakan tempat yang sesuai, diserahkan kepada mereka yang berminat atau sebagainya. Semoga hubungan anak dan ibu dapat dipelihara dan memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.