Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Konteks: Saya bekerja di sebuah syarikat di Selangor dan mendapat 'benefit' untuk klaim alatan sukan atas kapasiti pekerja dengan menunjukkan resit pembelian. 'Benefit' ini juga terpakai atas pembelian barangan oleh Isteri saya atau ibu bapa saya disebabkan mereka berada di dalam senarai tanggungan saya.
Senario #1: Apakah hukum jika saya klaim resit pembelian org lain (dengan izin) namun, saya tidak memberitahunya kegunaan resit itu?
Senario #2: Tanggungan saya telah membeli alatan sukan menggunakan duit mereka sendiri dan saya mengambil resit itu (dengan izin) untuk membuat klaim. Adakah duit klaim yang saya dapat menggunakan resit pembelian tanggungan saya itu ialah hak saya atau hak tanggungan saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, seorang pekerja yang diberi manfaat untuk membuat tuntutan alatan sukan perlu melaksanakan transaksi dengan jujur dan amanah. Lazimnya manfaat tuntutan yang diberikan oleh majikan adalah berdasarkan kepada perbelanjaan sebenar yang dikeluarkan oleh pekerja dan bukan membuat tuntutan menggunakan resit perbelanjaan mereka yang di bawah tanggunggan. Oleh itu, menggunakan pakai resit pembelian orang lain untuk membuat tuntutan tanpa memaklumkan tujuan sebenar, walaupun dengan izin, dianggap melanggar sifat amanah dan berdosa kerana menipu. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 58:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada ahlinya.
Dalam situasi pertama yang dinyatakan, walaupun pemilik resit memberi izin, jika mereka tidak tahu resit itu akan digunakan untuk tuntutan kewangan daripada syarikat, tindakan tersebut tidak dibenarkan. Daripada Samurah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu. (Riwayat Ahmad)
Dalam situasi kedua, jika tanggungan membeli alatan sukan dengan duit mereka sendiri, resit itu adalah bukti milik mereka. Mengambil resit untuk tuntutan atas nama sendiri tanpa persetujuan mereka menjadikan duit tuntutan itu hak tanggungan, bukan hak pekerja. Islam menegaskan bahawa mengambil hak orang lain tanpa izin adalah khianat dan haram.
Kesimpulannya, semua tuntutan manfaat hendaklah jujur, jelas, dan amanah. Mengambil resit orang lain tanpa pengetahuan mereka atau tanpa penyerahan hak adalah tidak dibenarkan dan duit tuntutan yang diperoleh dalam keadaan itu tetap menjadi hak sebenar pemilik resit.