Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalammualaikum wbt
soalan saya berkaitan dengan lelaki/suami dayus. saya seorang suami dan bapa kepada seorang anak perempuan saya yang berumur 4 tahun. saya bekerja dan isteri saya juga bekerja. saya diklasifikasikan sebagai suami dayus oleh ibu dan bapa saya kerana saya tidak tegas dengan isteri saya. manakala isteri saya pula katakan saya dayus kerana saya tidak memberikan nafkah yang sempurna kepada isteri dan anak saya. saya sudah sediakan rumah (sewa) sebagai tempat tinggal, berikan nafkah bulanan kepada isteri sebanyak RM250 sebulan, dan segala bil-bil bulanan, dan barang dapur saya sediakan duitnya. 95% gaji bulanan saya bayar semua keperluan asas dan bil bulanan dan hanya tinggal 5% saja baki gaji untuk saya bertahan sehingga gaji bulan depan. saya sentiasa jujur pada isteri saya yang tidak berkemampuan untuk memberi lebih daripada apa yang saya sudah berikan kepadanya. tetapi isteri saya sentiasa menekan bahawa itu adalah tanggungjawab saya untuk memenuhi kehendaknya dan setiap kali saya tidak dapat membayarnya isteri saya akan dahulukan dengan menggunakan duitnya dan meminta untuk saya membayarnya semula dengan segera sedangkan saya sudah menerangkan yang saya tidak mampu dan tidak mempunyai simpanan untuk membayarnya duitnya semula. apabila saya merancang untuk membuat kerja tambahan di hari minggu, isteri saya tidak mahu menjaga anak dan menguruskan hal rumah seperti memasak dan mengemas, sekiranya saya berkeras dia meminta saya untuk membayarnya untuk lakukan kerja tersebut. saya tiada pilihan kerana segala kerja rumah, mengemas dan memasak serta uruskan anak juga adalah tugas saya di rumah dan isteri saya hanya duduk berehat saja. saya tidak nafikan isteri saya banyak keluarkan belanja sekiranya kami keluar bersama untuk beriadah di mana saya hanya berbekalkan duit petrol kereta dan bayaran tol saja. setiap kali saya tidak cukup duit untuk isi petrol kenderaan saya akan meminjam dengan ibu bapa saya dan tidak pernah sekali pun saya minta pinjam dari isteri saya kerana saya tidak mahu jadi pergaduhan besar dengan isteri saya. dari situ ibu bapa saya berpendapat saya sepatutnya berpisah dengan isteri saya dan saya dayus kerana tidak pernah mahu bertegas dengan isteri saya dalam perkara ini. adakah benar saya seorang suami yang dayus?
Jawapan
Nafkah merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh suami terhadap isterinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya. Ulama telah menetapkan kadar nafkah mengikut kemampuan suami, sama ada berharta, sederhana, atau susah. Berdasarkan situasi yang dikongsikan, kewajipan nafkah tertunai sekiranya bahagian wajib telah disediakan oleh suami mengikut kemampuannya. Adapun luar daripada kewajipan suami seperti perbelanjaan untuk berjalan-jalan atau makan angin, maka ia tidak termasuk dalam nafkah wajib dan merupakan ihsan daripada kedua-dua pasangan bagi mengejar ganjaran syurga dalam melayari bahtera perkahwinan.
Penjagaan anak, pengurusan rumah dan sebagainya adalah seharusnya dilakukan sepakat dan toleransi antara suami isteri kerana realitinya perkahwinan bukan untuk mengejar mana yang menjadi hak suami, mana yang menjadi hak isteri. Mengikut konteks yang diberikan, tuan boleh digolongkan sebagai seseorang yang sederhana atau susah. Imam al-Bujayrimi menyebutkan:
Maksudnya: Sesiapa yang pendapatannya melebihi perbelanjaannya, maka dia tergolong sebagai orang yang senang (mampu). Sesiapa yang pendapatannya seimbang dengan perbelanjaannya, maka dia tergolong sebagai orang pertengahan. Sesiapa yang perbelanjaannya melebihi pendapatannya, maka dia tergolong sebagai orang yang susah (tidak mampu).
Dayus pula bermaksud membiarkan isteri atau anak-anak melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam, iaitu tanpa sebarang nasihat atau teguran ke arah yang lebih baik.
Justeru, dalam situasi ini tuan boleh dianggap sebagai dayus sekiranya tidak menasihati isteri tuan tentang tingkah lakunya itu.
Sekian, terima kasih.