BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Saya ingin bertanyakan soalan kepada ustaz @ustazah, Saya ada soalan nak tanya 1) suami saya adalah anak lelaki tunggal, dan yang lain adik beradiknya perempuan dan saya selepas berkahwin masih tinggal di rumah mentua. adakah berdosa untuk kami suami isteri jika kami membuat keputusan untuk duduk berasingan dari bapa mentua (ibu nya dah meninggal dan ada kakak suami yang belum berkahwin,) dengan alasan untuk kami berdikari.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, tidak berdosa jika puan dan suami membuat keputusan untuk tinggal berasingan dari keluarga. Ini kerana suami berkewajipan untuk menyediakan tempat tinggal untuk isterinya selain nafkah yang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”. (at-Talaq : 6) Disamping tinggal berasingan dari bapa mertua, suami masih berkewajipan untuk berbakti kepada bapanya, begitu juga dengan adik-beradik perempuannya yang lain. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya; قال جاء رجل الى رسول الله ﷺ فقال : من أحق الناس بحسن صحابتي قال أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Siapakah dari keluargaku yang paling berhak untuk berbakti?”. Jawab Rasulullah SAW, “Ibumu”. Pemuda itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab, “Ibumu”. Ditanya lagi, “Kemudian siapa?”. Jawabnya, “Ibumu”. Pemuda tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa”. Nabi SAW menjawab, “Kemudian bapamu”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 159

message user image