BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum....Apakah hukum seorang bapa Tiri mewalikan nikah anak Tiri tanpa meminta izin daripada wali nasab iaitu (bapa saudara) sebelah bapa Masih ada kerana bapa kandung Dan abang kandung sudah meninggal dunia?Mohon pencerahan tentang hukum Dan kesannya kepada anak Tiri tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kedudukan wali dalam pernikahan adalah rukun yang sangat penting dan menentukan sah atau tidaknya akad nikah. Seorang wali bertindak sebagai pelindung untuk memastikan pengantin perempuan tidak dipaksa dan perkahwinan itu sah mengikut syarak, dengan tertib wali yang spesifik (bapa, datuk, saudara lelaki, dan seterusnya) yang perlu dipatuhi, dan hanya akan beralih kepada wali hakim jika wali nasab tidak ada atau tidak mampu atau sebab-sebab lain.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, adalah tidak sah seorang bapa tiri menjadi wali nikah anak tirinya selagi masih terdapat wali nasab yang sah, dan tanpa keizinan atau penyerahan wali daripada wali nasab tersebut. Bapa tiri bukanlah wali nasab, ini kerana wali nasab adalah wali yang ada hubungan melalui pertalian darah sebelah bapa, bukan kerana perkahwinan ibu. Dalam kes ini, bapa saudara sebelah bapa masih hidup, maka dialah wali yang sah. Kaedah fiqh juga menjelaskan bahawa :

من ليس بولي فلا ولاية له

“Sesiapa yang bukan wali, maka tiada hak kewalian baginya.”

Kesan kepada anak tiri jika pernikahan telah dilangsungkan dengan wali yang tidak sah, maka status pernikahan itu boleh menjadi  tidak sah pada syarak dan pasangan boleh dianggap belum suami isteri secara syarak.

Oleh yang demikian, di syorkan pasangan tersebut segera membuat aduan dan rujukan ke Pejabat Agama / Mahkamah Syariah untuk pengesahan status nikah dan sekiranya disabitkan bahawa pernikahan tersebut adalah tidak sah, maka pasangan boleh melaksanakan akad nikah yang baru semula dengan menggunakan wali nikah yang sebenar dan sah pada syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 70

message user image