Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. sy ingin bertanya.. Sejak tahun 2018 suami selalu fitnah sy berzina dengan sahabatnya dan lelaki2 lain yg tidak pernah sy tahun kewujudannya. Dan menafikan 3 daripada 5 anak anak kami darah dagingnya. Sedangkan sy tidak pernah berzina Dan semua kelima-lima anak adakah darah daging suami saya. Suami juga mengatalan sy tidak berhak untuk terima nafkah langsung. Apa hukumnya? Adakah perkahwinan automatic terbatal?
Jawapan
Di dalam islam, zina yang dilakukan oleh seorang isteri tidak akan membatalkan perkahwinan selagi mana suami tidak menceraikannya dengan lafaz talak atau li’an. Menurut mazhab Shafi'i, suami haram menafikan nasab anak sekiranya berlaku kemungkinan sama ada anak tersebut hasil daripada persetubuhan antara suami isteri atau hasil daripada penzinaan. Suami dibenarkan untuk melakukan li’an untuk menafikan nasab anak sekiranya mengetahui secara yakin anak tersebut bukan anaknya berdasarkan bukti yang ada. Selain itu, lafaz li’an mestilah dilakukan di Mahkamah Syariah kerana proses mengangkat sumpah ini hendaklah dilaksanakan di hadapan hakim.
Merujuk persoalan yang diajukan, dicadangkan kepada suami dan isteri untuk pergi ke Mahkamah Syariah yang terdekat dengan rumah untuk merujuk perkara di atas. Ini kerana pihak Mahkamah akan
Mengesahkan nasab kesemua anak sebagai anak sah atau tidak sah kepada suami menurut hukum syarak;
Memerintahkan suami untuk menunaikan kewajipan nafkah isteri dan anak-anak selagi mana masih ada ikatan perkahwinan; dan
Memberi apa-apa perintah yang difikirkan adil dan wajar demi melindungi hak, maruah dan kebajikan isteri serta anak-anak.
Sekian, terima kasih.