Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya telah membuat bayaran fidyah atas talian sebelum masuk Ramadan 2022 untuk puasa yang telah saya tinggalkan sejak 2014 hingga 2020 (210 hari) melalui perkhidmatan atas talian yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Johor (negeri menetap). Fidyah itu saya bayar dengan formula 30 (hari ditinggal) x 7 (tahun ditinggal) x RM1.75 = RM1470. Namun, saya masih belum mengqada' puasa yang ditinggalkan itu sehingga kini (tahun 2025). Saya jahil dan berfikir yang bayaran fidyah dikira selesai dan tidak perlu dibayar lagi sekiranya puasa yang ditinggalkan itu diqada' pada bila-bila sahaja walaupun menjangkau ke Ramadan yang seterusnya. Tetapi menurut pembacaan saya, rupa-rupanya saya perlu bayar fidyah lagi kerana gagal mengqada' puasa itu sehingga kini. Persoalan saya:
1. Saya tidak rasa sempat untuk mengganti 210 hari puasa yang ditinggalkan sebelum masuknya Ramadan 2026. Saya bakal bekerja dalam masa terdekat dan jadual pekerjaan saya yang tidak tetap mungkin akan menyebabkan kesukaran untuk saya kerap qada' puasa. Saya menjangka akan mengambil beberapa tahun untuk habis qada' puasa, maka saya ingin memilih pembayaran fidyah secara tidak berganda. Saya difahamkan bahawa urusan pembayaran fidyah saya akan tamat sekiranya saya memilih cara tidak berganda. Saya hanya perlu mengqada' puasa yang ditinggalkan tanpa membayar fidyah sekali lagi walaupun belum sempat mengganti puasa apabila tiba Ramadan seterusnya. Adakah ini benar?
2. Sekiranya persoalan 1 benar, bolehkah saya 'overwrite' bayaran fidyah saya yang bernilai RM1470 (mengikut kiraan Johor) sebelum ini dengan pembayaran fidyah secara tidak berganda (mengikut kiraan Selangor)? Dan adakah saya dibenarkan untuk membuat pembayaran fidyah secara tidak berganda itu melalui lawan web Lembaga Zakat Selangor walaupun saya tidak menetap di Selangor?
3. Ataupun adakah saya perlu menangguh sehingga saya mempunyai gaji sendiri untuk membuat pembayaran fidyah secara berganda dan menanggung kadar fidyah yang banyak kerana saya tidak mampu mengganti puasa yang banyak dalam masa setahun sebelum masuk Ramadan yang baru?
Saya mohon pencerahan daripada pihak tuna/puan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Seseorang yang meninggalkan puasa, meskipun telah membayar fidyah tetap diwajibkan mengqada’ puasa yang ditinggalkan kerana fidyah tidak menggugurkan kewajipan qada’. Memandangkan tiada ketetapan khusus mengenai kaedah pembayaran fidyah di negeri Johor, maka puan boleh melunaskan bayaran fidyah dengan berpegang kepada pandangan yang tidak mensyaratkan gandaan bayaran, sebagaimana fatwa di negeri Selangor. Sekiranya puan memilih kaedah ini, puan tidak perlu membayar fidyah lagi walaupun qada’ puasa belum disempurnakan. Namun begitu, qada’ bagi puasa yang masih belum diganti tetap wajib dilaksanakan sebaiknya.
Berhubung isu “overwrite” bayaran fidyah yang telah dilunaskan, tindakan tersebut tidak dibenarkan kerana bayaran terdahulu telah sah mengikut kadar Johor. Walau bagaimanapun, puan boleh memilih kadar tidak berganda bagi baki fidyah yang masih belum dijelaskan di mana-mana negeri mengikut kadar yang ditetapkan di negeri tersebut. Namun disarankan agar bayaran fidyah dibuat di negeri di mana puan tinggal.
Sehubungan itu, puan disarankan agar merancang jadual qada’ puasa dengan sebaiknya kerana ia merupakan hutang kepada Allah SWT yang wajib dilunaskan. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan puan.
Sekian, terima kasih.