Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT,
Tuan/Puan,
Saya ada beberapa soalan :
1. Apa hukumnya jika suami isteri tidak bersama selama 3 tahun dan kini setelah 24 tahun usia perkahwinan baru mula ingin bersama seperti awal perkahwinan? Sedangkan saya dah tawar hati.
2.Suami juga tidak pernah memberi nafkah zahir (wang, pakaian) selama tempoh perkahwinan kami. Apa hukumnya?
3.Untuk makluman tuan/puan, sepanjang tempoh perkahwinan ini segala keperluan anak-anak adalah dibawah tanggungan saya sepenuhnya dan termasuklah kadang kala suami meminta saya untuk berkongsi bayaran sedangkan gaji suami lebih besar dari gaji saya. Apakah pandangan tuan/puan berkaitan hal ini?
4. Untuk tempoh perkahwinan ini berbagai tekanan diberi kepada saya sehingga saya disahkan menghidap Major Depression Disorder (MDD). Ini adalah berpunca daripada kongkongan pihak suami sepanjang perkahwinan dimana beliau tidak membenarkan saya berjumpa dengan keluarga terutama ibu saya dan dia juga memantau segala hal peribadi saya ( contoh maklumat ditelefon seperti whats app, email dan media sosial).
Tujuan pertanyaan ini adalah untuk mendapatkan kepastian status hubungan saya bersama suami. Apakah jatuh talak? Untuk makluman tuan juga, saya masih tinggal sebumbung.
Terima kasih.
Jawapan
1. Para fuqaha berpandangan bahawa meninggalkan hubungan suami isteri dalam tempoh lama sehingga memudaratkan pasangan adalah penyalahgunaan hak dan boleh menjadi sebab fasakh sebagaimana yang dinyatakan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, Seksyen 53 (1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu----(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun
2. Hukum suami yang tidak memberi nafkah zahir selama tempoh perkahwinan adalah berdosa, dan isteri berhak menuntut nafkah tertunggak dan boleh juga membuat tuntutan fasakh sebagaimana yang dinyatakan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, Seksyen 53 (1)(b).
3. Perbuatan suami meminta isteri berkongsi nafkah sedangkan dia mampu adalah tidak menepati hukum syarak. Isteri berhak membuat tuntutan nafkah anak-anak dan nafkah tertunggak. Boleh rujuk jawapan di nombor 2 di atas.
4. Perbuatan suami mengongkong, melarang anda berjumpa keluarga, memantau whatsapp, email, media sosial dan kawalan melampau adalah termasuk penyalahgunaan kuasa sebagai suami. Sekiranya tindakan suami itu berterusan dan memberi mudarat yang besar kepada isteri, maka boleh menjadi hujah dan bukti yang kukuh sekiranya isteri ingin memanjangkan kes ini ke mahkamah.
Rumusannya daripada pertanyaan puan, status pasangan masih lagi kekal sebagai suami isteri sehinggalah mana-mana pihak samaada suami atau isteri membuat tuntutan di mahkamah untuk bercerai atau fasakh atau mana-mana yang berkaitan.
Sekian terima kasih