BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ingin bertanya apakah berdosa seorang isteri tidak bersetuju untuk suaminya berkahwin lain kerana apabila isteri bertanya tujuan suami kahwin lain, suami tidak tahu. Dan apakah boleh isteri meminta suami untuk membuat taklik tambahan sekiranya dia berkahwin juga maka jatuh talak kepada isteri? Kerana isteri tidak dapat terima sekiranya suami ada isteri lain kerana ia akan mendatangkan mudarat kepada isteri tersebut kerana overthingking?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hukum berpoligami dalam Islam adalah harus (dibenarkan) tetapi boleh berubah mengikut keadaan, iaitu menjadi sunat, makruh, atau haram jika tidak mampu berlaku adil, mempunyai keuzuran, atau membawa kemudaratan; ia adalah rukhsah (kelonggaran) bukan kewajipan, dengan syarat utama mesti mampu berlaku adil dari segi zahir dan batin (nafkah, giliran, layanan) serta tidak menzalimi isteri pertama

Menjawab pertanyaan puan :

1. Menurut Menurut Enakmen Keluarga Islam Selangor (2003), di bawah Seksyen 23, seorang suami tidak boleh bernikah dengan wanita lain (poligami) kecuali terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah. Permohonan kebenaran ini mesti disertakan dengan “iqrar” (akuan) yang menyatakan:

  • alasan mengapa perkahwinan kedua diperlukan/ patut;

  • pendapatan suami;

  • butiran komitmen kewangan dan bilangan tanggungan (isteri sedia ada, anak-anak, dll);

  • sama ada izin atau pandangan isteri sedia ada telah diperolehi atau tidak.

Oleh yang demikian, sekiranya suami puan sendiri tidak tahu dan tidak boleh memberikan tujuan yang jelas untuk berkahwin lagi, ini menunjukkan tiada keperluan syarie dan boleh menimbulkan mudarat perkahwinan. Maka isteri ada ruang dan hak menyatakan ketidaksetujuan terhadap hasrat suami itu di hadapan hakim Mahkamah Syariah.

Seseorang isteri ada hak untuk tidak bersetuju dan tidak reda jika suaminya ingin berkahwin lain jika keperluan atau hajat yang tidak jelas dan nyata. Isteri juga tidak berdosa jika merasa sedih, marah, tertekan atau sukar menerima poligami. Itu adalah fitrah manusia. Walaupun poligami diharuskan dalam Islam, perasaan isteri tetap diiktiraf dan dihormati selagimana ia tidak menafikan ketetapan syarak dan hukum Islam.

2. Berkaitan dengan taklik tambahan pula, secara umumnya pasangan boleh untuk membuat taklik tambahan selain daripada taklik yang dibaca selepas akad nikah. Perkara ini tidak melibatkan proses mahkamah dan ia boleh dibuat antara suami dan isteri sahaja namun untuk mengelakkan pertikaian pada masa akan datang, pasangan boleh menggunakan khidmat peguam atau mana-mana orang yang boleh menjadi saksi terhadap lafaz taklik tersebut.

Namun, sebagai makluman dan peringatan puan, pasangan mesti memahami bahawa lafaz taklik tambahan itu, sekiranya dilanggar dan jatuh maka ia termasuk dalam kategori perceraian luar mahkamah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, iaitu sabit kesalahan suami boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 93

message user image