Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya ringkas tentang hukum solat musafir menurut mazhab Syafi‘i.
Saya dan 2 orang rakan akan ke Jepun selama 6 hari 5 malam, tinggal di satu hotel sahaja sepanjang di sana. Selepas itu kami terus pulang ke Malaysia.
Soalan:
Adakah kami masih dikira musafir sepanjang 6 hari tersebut?
Adakah kami boleh jamak sahaja, atau jamak dan qasar, atau tiada rukhsah langsung?
Dalam mazhab Syafi‘i, bagaimana kiraan “4 hari” yang membatalkan rukhsah musafir?
Jika tidak boleh qasar, adakah masih boleh jamak kerana kesulitan (cuaca sejuk, perjalanan jauh, sukar cari tempat solat, jadual padat)?
Mohon penjelasan ringkas ustaz.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, jamak dan qasar merupakan rukhsah (keringanan) yang diberikan bagi orang yang bermusafir. Mengikut mazhab Sayfi'i, sekiranya seseorang sudah berniat dari awal untuk menetap di tempat yang dituju tanpa menentukan tempoh, atau berniat untuk menetap selama empat hari tidak termasuk hari datang dan balik, maka dia tidak lagi dikira sebagai musafir apabila sampai di destinasi tersebut, maka dia tidak boleh jamak dan qasar sepanjang berada di sana.
Jika puan dan rakan-rakan berniat untuk menetap selama empat hari atau lebih tidak termasuk hari datang dan balik di kawasan tertentu di Jepun, maka puan dan rakan-rakan dikira bermukim sejurus sampai di kawasan tersebut. Oleh itu, tidak dibolehkan untuk puan dan rakan-rakan melakukan jamak dan qasar sepanjang berada di sana. 4 hari yang membatalkan rukhsah musafir di sisi mazhab Syafi'i ialah empat hari lengkap, iaitu 24 jam tidak termasuk hari sampai dan balik. Sekiranya puan sampai di kawasan tersebut pada waktu malam, maka permulaan hari pertama dikira pada pagi keesokannya.
Mengikut muktamad Syafi'i, dibolehkan jamak takdim disebabkan hujan atau salji di masjid selagi mana hujan masih turun pada permulaan solat kedua. Terdapat pandangan lain dalam mazhab Syafi'i yang membenarkan jamak taqdim ketika hujan walaupun berada di rumah atau tempat penginapan. Selain itu, muktamad mazhab Syafi'i tidak membenarkan jamak pada selain selain musafir dan hujan atau seumpamanya. Namun begitu, terdapat sebahagian ulama mazhab Syafi'i yang membenarkan jamak pada keadaan sakit atau situasi lain yang menyukarkan. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya al-Majmuk (4/384):
Maksudnya: Ibn al-Mundhir daripada kalangan ulama mazhab kami berkata: harus melakukan jamak (menggabungkan dua solat) ketika berada di tempat tinggal, walaupun tiada sebab takut, atau hujan, atau penyakit. Hal ini telah diriwayatkan oleh al-Khattabu dalam Ma‘alim al-Sunan.
Sekian, terima kasih.