BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya merupakan pesakit kencing manis type 1 sejak berusia 14 tahun dan kini sudah berusia 27 tahun. Untuk makluman pihak tuan, kencing manis type 1 ini adalah penyakit auto-immune dimana pankreas saya sudah tidak lagi mampu berfungsi untuk menghasilkan insulin yang bertindak sebagai "agen" untuk menstabilkan gula dalam darah. Disebabkan penyakit ini, saya pernah dimasukkan ke ICU dan ditidurkan akibat satu keadaan yang dipanggil "ketoacidosis" atau "DKA". Akibat keadaan gula yang sangat tidak terkawal, doktor pakar perubatan telah mensarankan agar saya untuk memakai satu peralatan untuk memeriksa gula dalam darah tanpa perlu mencucuk jari setiap kali ingin memeriksa gula iaitu sebuah alat yang diberi nama Continous Glucose Monitoring System (CGMS). Doktor pakar juga mensarankan saya untuk memakai sebuah alat "insulin pump" yang berfungsi sebagai alat yang sentiasa dapat menyalurkan insulin kedalam badan saya tanpa perlu saya cucuk insulin secara manual ke dalam badan saya. Saya telah menggunakan insulin pump secara percubaan selama 2 minggu dan memang terbukti bahawa dengan pemakaian insulin pump tersebut, kandungan gula dalam darah saya semakin terkawal dengan baik berbanding dengan cara cucuk insulin secara manual setiap kali mahu makan dan sebelum tidur. Akan tetapi, insulin pump ini sama seperti alat CGMS dimana saya harus melekatkan jarum ke dalam kulit, cuma bezanya jarum tersebut akan ditukar setiap 3 hari sekali. Hal ini menyebabkan bahagian tertentu di kawasan perut atau peha saya akan tertutup dengan pelekat jarum insulin pump tersebut, sama seperti pelekat CGMS.
 

Di sini saya ingin bertanyakan soalan penting kepada pihak tuan tentang apakah hukum mandi wajib saya, adakah ianya dikira sah kerana ada pelekat CGMS dan juga pelekat insulin pump yang sudah menutupi bahagian lengan dan bahagian perut/peha saya? Apakah cara mandi wajib yang sebenar nya patut saya lakukan?

Terima kasih atas jawapan daripada pihak tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, kaedah untuk mandi wajib bagi pesakit kencing manis/ diabetes yang perlu memakai CGMS boleh dikategorikan kepada dua:

Pertama: Pesakit kencing manis/ diabetes tahap kritikal yang perlu bergantung kepada alat CGM boleh melakukan mandi wajib dengan mengalirkan air seperti biasa keseluruh bahagian tubuh badannya termasuk pada bahagian CGM.

Kedua:  Pesakit kencing manis/ diabetes tahap biasa perlu membuka CGM untuk mandi wajib kerana dia tidak berhadapan dengan kesukaran yang banyak dan tidak perlu menggunakan CGM secara kerap.

Ini merupakan keringanan (rukhsah) bagi seseorang yang berhadapan dengan kesulitan disebabkan penyakit.

Oleh yang demikian, mandi wajib yang telah dilaksanakan sebelum ini adalah sah. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/32-taudih-al-hukmi-mandi-wajib-bagi-pengguna-continuous-glucose-meter-cgm-yang-menghidap-diabetes/

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 25

message user image