Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Seorang bayi perempuan lahir sebagai anak tidak sah taraf. ibu dan ayahnya menikah selepas ibunya habis berpantang. betul ke ayah biologinya menjadi mahram jika si ibu menyusukan bayi itu, status sebagai suami kepada ibu susuan? atau ayah biologinya akan kekal sebagai bukan mahram?
Jawapan
Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan, ayah biologi anak tidak sah taraf tersebut boleh menjadi mahram dengan sebab perkahwinan di antara ayah biologi itu dengan ibu kandungnya. Boleh rujuk fatwa seperti link berikut:
https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat-2/
Untuk makluman, dari segi Hukum Syarak anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibu kandungnya dan tanggungan nafkah juga tertanggung ke atas keluarga sebelah ibu begitu juga dengan pewarisan pusaka, anak itu hanya mewarisi pusaka sebelah ibu kandungnya sahaja.
Adapun, jika ibu kandungnya bernikah dan telah berlaku bersetubuhan bersama suaminya, maka suami ibu kandunganya dihukumkan sebagai bapa tiri. Manakala anak yang dibawa oleh isteri dihukumkan sebagai anak tiri. Tidak kira sama ada anak itu anak sah taraf (anak dari suami terdahulu) atau anak tidak sah taraf atau anak susuan. Kemahraman ini kekal selama-lamanya walaupun berlaku penceraian selepas itu antara ibu dan ayah biologinya (bapa tirinya).
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34:
Maksudnya : "Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri..."
Sekian, terima kasih.