BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang anak susuan. Anak saya disusukan oleh adik saya sendiri. Saya ingin tahu batas anak saya sebagai anak susuan adik saya. Adakah anak saya dikira ada pertalian darah dengan keluarga adik saya dan suaminya sampai bila bila? Maksud saya sampai generasi seterusnya. Saya faham anak anak adik saya dikira adik beradik anak saya tapi saya tidak tahu dan paham pertalian anak saya untuk keturunan adik saya seterusnya.

Harap persoalan saya mudah difahami. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Bermaksud: Menjadi mahram menerusi susuan itu adalah sama seperti menjadi mahram menerusi nasab (atau kelahiran). (Riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apabila seorang isteri menyusukan seorang anak perempuan susuan, maka anak perempuan susuan isteri itu akan turut menjadi anak perempuan susuan suaminya, dengan syarat susu itu berpunca dari suami tersebut, iaitu suami itu yang menyebabkan isteri menghasilkan susu kerana kehamilan disebabkan olehnya. Jika susu yang dihasilkan bukan dari kehamilan, seperti dengan sebab memakan ubat-ubatan atau hormon, maka suami tidak dianggap sebagai bapa susuan. Namun suami itu tetap juga menjadi mahram kepadanya dengan sebab perkahwinan (persetubuhan) dengan ibu susuan anak perempuan itu sebagai anak tiri susuan. 

Sekiranya sabit suami kepada ibu susuan anak perempuan sebagai bapa susuan, maka hubungan mahram antara mereka akan kekal selama-lamanya walaupun sekiranya berlaku penceraian di antara ibu susuan dan bapa susuan itu.

Sebagaimana yang puan nyatakan, anak puan (yang disusukan oleh adik perempuan puan) menjadi adik beradik susuan kepada anak-anak adik perempuan puan. Mereka adalah mahram dan tidak boleh berkahwin untuk selama-lamamya.

Begitu juga anak puan itu dengan anak kepada anak adik perempuan puan (yang telah menjadi adik beradik susuan) serta keturunannya adalah mahram dan tidak boleh berkahwin untuk selama-lamanya. Anak puan adalah pakcik atau makcik susuan kepada anak kepada anak adik perempuan puan. Begitu juga anak adik perempuan puan dengan anak kepada anak puan itu serta keturunannya adalah mahram untuk selama-lamanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 106

message user image