BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, saya ingin mencari tahu. Sebagai seorang muslim, apakah tindakan yang terbaik untuk saya lakukan apabila melihat seseorang memijak al-Quran? Adakah ada perbezaan tindakan yang perlu saya ambil jika individu yang memijak al-Quran tersebut merupakan seorang muslim atau bukan beragama Islam(kafir)?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan ia merupakan mukjizat teragung Nabi SAW. Selain itu, al-Quran adalah panduan utama umat Islam dan Allah SWT telah bersaksi bahawa Dia akan memelihara al-Quran ini berdasarkan firman-Nya dalam surah Al-Hijr ayat 9 :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara serta menjaganya.”

Perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia boleh membawa maksud penghinaan kepada al-Quran. Perbuatan menghina Allah SWT, Rasulullah SAW, al-Quran, agama Islam dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun dengan tujuan bergurau kerana ia boleh mengeluarkan seseorang itu daripada agama Islam begitu juga sekiranya ia dilakukan oleh orang kafir. Tindakan yang terbaik apabila melihat seseorang memijak Al-Quran adalah dengan menegurnya. Sekiranya tidak mampu untuk menegur dengan tangan, maka tegurlah dengan lisan. Sekiranya kedua-duanya tidak mampu, maka bolehlah melaporkan kepada pihak yang berkaitan iaitu Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Agama Islam Selangor atau Negeri yang tuan tinggal. Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 71

message user image