Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum. Saya ingin tahu berkenaan zakat simpanan. Umur saya 67 tahun. Suami saya baru meninggal dunia. Kami ada simpanan dalam ASB. Dan saya kena membayar zakat cukup tahun ini. Dari duit simpanan lah saya gunakan untuk perbelajaan harian saya. Kami tak ada pencen ( bukan bekerja kerajaan).
Soalan saya,
Selain di tolak nisab dari simpanan ada kah saya boleh tolak duit kegunaan harian juga.
eg. (RM100,000/- - Nisab - duit perbelajaan harian)
= balance x 2.5% = duit yg perlu dizakat.
Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, zakat simpanan adalah zakat dikenakan ke atas wang simpanan perseorangan. Ia juga boleh dikenakan ke atas objek lain yang boleh diterima pakai secara umum dalam urusan jual beli. Contoh objek ini seperti emas atau perak yang boleh digunakan sebagai mata wang. Malah, zakat simpanan juga boleh dikenakan ke atas pelaburan seperti ASB. Hal ini berdasarkan hadis daripada Saidina Ali RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berabda:
Maksudnya: Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun. (Hadis riwayat Abu Daud)
Justeru, bagi zakat simpanan kaedah asasnya ialah zakat dikenakan ke atas baki harta simpanan yang cukup nisab dan cukup haul (setahun) selepas ditolak keperluan asas yang benar-benar diperlukan. Puan dibenarkan menolak perbelanjaan asas yang munasabah untuk tempoh setahun seperti makan minum, bil utiliti, perubatan dan keperluan hidup sebelum mengira zakat. Untuk maklumat lanjut, puan boleh hubungi Lembaga Zakat Selangor sebagai badan yang berautoriti dalam menguruskan hal ehwal zakat di negeri Selangor.
Sekian, terima kasih.