BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, 

Saya baru berkahwin lebih kurang 2 bulan perkahwinan. Suami saya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Kisahnya, suami saya ada seorang rakan lelaki yang sangat rapat dengan dia. Dan rakan lelaki ini tidak ramai kawan dan hanya rapat dengan suami saya, tahap rapat mereka itu seperti sering melakukan aktiviti bersama sebelum kahwin contoh: pergi kerja dan balik bersama satu kereta, potong rambut setiap bulan bersama satu kereta, makan tengahari/malam selepas balik kerja bersama, mereka mempunyai hobi yang sama iaitu bermain golf, pergi bermain golf bersama satu kereta, pergi masjid bersama satu kereta, malam mereka akan ada virtual discussion dan selepas itu bermain game bersama dan pernah suami saya sebelum berkahwin keluar negara untuk urusan kerja dan rakan rapat suami saya sanggup mengambil cuti untuk pergi bersama ke sana.

Selepas berkahwin, mereka masih melakukan aktiviti bersama sehingga saya tegur kerana kurang senang melihatnya. Sekarang berkurang, cumanya masih tetap melakukan aktiviti bersama. Masih pergi potong rambut bersama, kadang pergi kerja bersama dan sebagainya. Untuk pegetahuan ustaz/ustazah mereka juga bekerja di tempat yang sama. 
 

Saya sekali lagi timbul rasa kurang senang atas persahabatan suami dan rakan rapatnya, saya sekali lagi menegur dan minta untuk suami jauhkan diri dari rakan. Saya minta suami saya untuk melakukan semuanya sendiri dan tidak perlu melibatkan rakannya itu. Ketika saya menegur berlaku sedikit pertengkaran kecil dan saya berasa sangat kecil hati. Saya tidak boleh terima suami saya sangat rapat sebegitu sekali dengan rakannya. 
 

Adakah saya salah ustaz/ustazah? Bolehkah saya minta pandangan ustaz/ustazah atas perkara ini. Apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya sayangkan suami dan rumahtangga saya. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan, sebenarnya apa yang puan rasakan bukan suatu perkara yang boleh dipandang mudah atau kecil, ini kerana kalau ia tidak ditanggani dengan baik dan hikmah, ia boleh membawa kepada permasalahan yang mungkin lebih besar dan serius. Luahan puan ini bukan bermaksud puan seorang isteri yang salah atau cemburu berlebihan. Perasaan itu sebenarnya lahir daripada fitrah seorang isteri yang baru membina rumahtangga dan ingin merasai keutamaan, kebersamaan dan ruang khas bersama suaminya.

Untuk makluman puan, persahabatan lelaki dengan lelaki adalah harus dan dibenarkan dalam Islam, selagi ianya tiada unsur maksiat, tiada unsur syubhah dan tidak melalaikan kewajipan lain yang lebih utama. Baginda Nabi SAW sendiri mempunyai sahabat yang sangat rapat seperti Syaidina Abu Bakar R.A. dan ramai lagi. Namun, setelah berumahtangga, Islam menetapkan keutamaan yakni awlawiyyat yang perlu suami atau isteri ambil perhatian agar ia tidak diabaikan begitu sahaja.

Dalam perkahwinan, suami mempunyai tanggungjawab baru sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An Nisa' ayat 19 yang bermaksud : “Dan bergaullah dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik.” Dalam ayat ini ulama menjelaskan bahawa “bergaul dengan cara yang baik” bukan hanya nafkah zahir atau batin semata-mata, tetapi memberi ruang emosi, perhatian dan rasa aman kepada isteri juga termasuk dalam bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Jika sesuatu hubungan luar walaupun halal tetapi menyebabkan isteri tertekan, kecil hati dan tidak tenang, maka suami wajib menilai semula keutamaannya atau tindakannya itu.

Walaupun isteri ada hak untuk diberi perhatian dan keutamaan oleh suami, namun sekiranya isteri menghalang atau memutuskan atau menjauhkan suami daripada rakannya secara total, maka dikhuatiri tindakan itu boleh menyebabkan suami rasa terkongkong dan boleh mencetuskan pertengkaran berpanjangan. Sebab itu dalam Islam, bukan semua yang kita rasa betul, kita perlu dituntut secara keras dan tegas tanpa hikmah, toleransi dan budibicara.

Lantas, laksanakanlah konsep syura atau berbincang dengan hikmah dan penuh kasih sayang agar rumahtangga yang masih terlalu baru itu selamat dan damai. Rumahtangga yang hebat bukan sekadar bebas konflik, tetapi pandai mengurus konflik. Jika suami seorang yang baik seperti puan nyatakan di atas, insya-Allah dia akan faham bila ditegur dengan hikmah dan berbincang dengan cara yang baik.

Banyakkan doa kepada Allah SWT, agar puan dan suami dikurniakan persefahaman yang baik dan sentiasa hikmah dan bijak dalam mengurus konflik yang berlaku. Yakinlah, setiap yang berlaku itu adalah proses kematangan yang sengaja Allah SWT ujikan kepada kita untuk kita lebih bersedia, matang dan bijak dalam mendepani bahtera kehidupan berumahtangga.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 71

message user image