BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang hal najis dan ibadah berkaitan waswas.

Semasa saya bermusafir bersama keluarga, saya pergi solat jamak taqdim Maghrib dan Isya' di surau ketika hujan lebat. Saya mengikut abang saya ketika Maghrib dan saya macam nampak dia garu kakinya yang mungkin melebihi 3 pergerakan. Saya sambung solat sampai habis dan kemudian ketika solat jamak Isya' pula, ketika rakaat pertama, saya waswas sama ada saya niat qasar ataupun tidak, lalu saya batalkan solat dan takbir Isya' sekali lagi.

Selepas itu, saya keluar surau dan saya terpijak air lantai tempat letak kasut yang basah lencun akibat hujan. Saya perasan macam ada tahi cicak jauh sedikit daripada tempat saya pijak, tetapi air itu semua macam bersambung. Saya kemudian ragu sama ada saya perlu basuh kasut saya ataupun tidak.

Soalan saya adalah :

1) Adakah sah solat saya dan abang saya sekiranya saya ragu abang saya telah gerak lebih 3 kali kerana abang saya mungkin tidak tahu atau perasan?

2) Adakah solat kedua dalam jamak taqdim sah sekiranya solat pertama tidak sah?

3) Sekiranya saya ulang takbir solat kedua dalam jamak taqdim kerana mungkin terlupa niat qasar, adakah sah solat saya?

4) Adakah air yang saya pijak itu bernajis ataupun dimaafkan kerana susah elak?

Terima kasih. Jazakallah khair.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan tuan, 

1) Selagi abang tidak pasti solatnya batal, solat imam dihukum sah, maka solat makmum juga sah. Ini kerana tuan telah “macam nampak” dan ia tidak dikira yakin, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak). 

2) Solat kedua dalam jamak taqdim kekal sah. Ini kerana solat yang pertama adalah kekal sah. Kalau benar-benar yakin solat pertama batal (contoh: jelas imam bercakap, makan, atau batal wuduk), barulah jamak taqdim terbatal.

3) Solat yang kedua itulah yang diambil kira dan sah. Ini kerana niat qasar wajib ditentukan ketika takbiratul ihram.

4) Air lantai yang dipijak itu tidak dihukum bernajis dan dimaafkan oleh syarak, kerana hukum asal setiap air ialah suci selagi tidak pasti bercampur najis dan tidak berubah bau, warna atau rasanya. Walaupun tuan nampak tahi cicak di kawasan berdekatan, itu tidak cukup untuk menghukum air tersebut bernajis, kerana najis tidak berpindah hanya dengan sangkaan atau kerana air kelihatan bersambung. Tambahan pula, keadaan hujan lebat adalah situasi yang sukar dielakkan, dan najis kecil seperti tahi cicak termasuk dalam najis yang dimaafkan (ma‘fu ‘anhu). Oleh itu, tidak wajib membasuh kasut dan tidak perlu melayan perasaan was-was.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 23

message user image