Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
apakah hukum berdoa kepada Allah untuk dikecualikan semua dosa kemudian terus hidup macam biasa dengan harapan semua dosa takkan dihisab di akhirat?
Terima kasih
Jawapan
Islam melarang seseorang bertawakal atau berdoa semata-mata tanpa berusaha terlebih dahulu. Ulama menetepakan syarat yang perlu dipenuhi untuk seseorang bertaubat daripada dosa lampau, iaitu:
1. Menjauhi perbuatan berdosa tersebut.
2. Menyesal terhadap perbuatannya yang lalu.
3. Berazam untuk tidak mengulanginya.
4. Menyerahkan kembali hak jika berkaitan dengan hak sesama manusia.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Setiap anak Adam sentiasa melakukan dosa dan sebaik-dosa orang yang sentiasa melakukan dosa ialah orang yang sentiasa bertaubat.
Hadis ini menjelaskan bahawa setiap dosa yang dilakukan perlu kepada taubat yang tersendiri. Dengan erti kata lain, setiap kali kita melakukan maksiat atau dosa kita perlu bertaubat. Justeru, perbuatan berdoa kepada Allah SWT untuk dikecualikan semua dosa kemudian terus hidup macam biasa dengan harapan semua dosa takkan dihisab di akhirat adalah dilarang dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Sekian, terima kasih.