Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya mahu bernikah bulan Jun tahun depan tapi saya baru sahaja dapat tahu yang saya ni anak tidak sah taraf namun saya berbintikan ayah biologi saya. Saya dimaklumkan, parents ada berjumpa dengan pegawai JPN dan buat pengesahan yang mengakui ayah saya tu benar-benar ayah biologi saya. Dan pihak JPN membenarkan saya berbintikan ayah biologi saya. Tetapi saya tak pasti ada hitam putih atau tidak. Saya lahir 25 Februari 1997 , tarikh akad nikah mereka 13 November 1996. Saya ada soalan:
1. Adakah betul nama saya boleh berbintikan ayah biologi saya? Jika boleh, akad nikah nanti bakal suami saya sepatutnya tiada masalah sebut nama penuh saya? Jika tidak boleh, saya perlu tukar nama?
2. Untuk kes saya ini, ada perubahan ke untuk proses memohon wali hakim?
3. Mohon maklum sekiranya ada proses tambahan yang saya perlu buat.
Terima kasih banyak.
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudari :
1. Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya (lelaki yang menyebabkan anak itu lahir). Walaupun Jabatan Pendaftaran Negara telah membenarkan anak tersebut berbintikan bapa biologinya, namun sekiranya pasangan mengaku bahawa anak tersebut adalah anak luar nikah atau tidak sah taraf, maka dari sudut hukum syarak anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya dan bapa biologi tersebut tidak boleh menjadi wali kepada pernikahan anak tersebut.
Berkaitan lafaz akad nikah dengan menggunakan nama pengantin perempuan seperti dalam surat beranak atau kad pengenalan pula yakni yang berbintikan bapa biologinya, ia tidak menjejaskan kesahihan status pernikahan pasangan kerana pengantin perempuan itu telah ditentukan orang yang sah untuk dinikahi oleh pengantin lelaki sama ada melalui dokumen permohonan nikah atau pengesahan sebelum akad nikah dilaksanakan.
Untuk soalan 2 dan 3 sila berhubung dengan Pejabat Agama Islam Daerah terdekat.
Sekian terima kasih