BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalmualaikum, Saya ada kemusykilan mengenai nazar dan zakat. Saya melakukan transaksi pembelian saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. Dan saya bernazar setiap 50% dari keuntungan setiap transaksi akan didermakan atau disedekahkan. Siapakah yang layak untuk terima sedekah saya? Adakah isteri dan anak layak menerima sedekah saya tanpa saya mengenepikan nafkah yang wajib? Keuntungan yang saya miliki itu sudah dibahagi dua dan hanya 50% milik saya. Sekiranya begitu, adakah saya perlu membayar zakat untuk 50% atau keseluruhan keuntungan yang dijana? Terima kasih


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, nafkah dan sedekah adalah dua perkara yang berbeza. Nafkah hukumnya wajib, manakala sedekah hukumnya sunat. Jika suami itu tidak memberi nafkah kepada isteri dan anaknya, maka suami tersebut telah melakukan dosa. Tetapi, jika suami tidak memberi sedekah kepada mereka, maka dia tidak berdosa kerana perbuatan memberi sedekah itu bukannya wajib. Adapun, ganjaran memberi sedekah kepada keluarga adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa : دينار أنفقته في سبيل الله ودينار أنفقته في رقبة ودينار تصدقت به على مسكين ودينار أنفقته على أهلك أعطمها أجرا الذي أنفقته على أهلك Maksudnya : “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu ” (Riwayat Muslim) Berkenaan pembayaran zakat saham, ianya wajib untuk setiap keuntungan transaksi pembelian saham yang diterima. Rujukan fatwa : http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/198-hukum-zakat-pelaburan-saham والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 178

message user image