BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Salam Sejahtera

Salam Malaysia MADANI

Tuan, terdapat satu jawapan di dalam ruangan ibadah tidak menjawab soalan yang di ajukan.

Diharap pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor dapat memuat semula jawapan yang sebenar terhadap soalan tersebut dan dicadangkan untuk melakukan pemurnian bank jawapan terhadap soalan - soalan lain agar tidak berlaku perkara yang sama bagi mengekalkan martabat Jabatan Mufti itu sendiri. 

 

Saya memohon maaf sekiranya teguran saya ini mengundang rasa tidak selesa kepada pihak Jabatan. Bersama-sama ini pada lampiran, pautan URL ke pertanyaan yang di nyatakan.

 

Sekian, terima kasih.

-hanifftukija-

 

Pautan : 

https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=1804


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Terima kasih saya dahulukan atas keprihatinan tuan terhadap persoalan yang dibangkitkan. Saya datangkan di sini persoalan tersebut agar mudah untuk mendapatkan gambarannya terlebih dahulu.

Soalan: Assalamualaikum wbt...ustaz pada tahun 2015 saya sekeluarga telah mengerjakan umrah. Sebelum balik ke Malaysia anak saya telah demam dan tidak mengerjakan tawaf wada'. Sebelum menaiki bas mutawif minta anak saya melambai ke arah kaabah. Jarak hotel kira-kira 350-400 km dari kaabah. Saya baru tahu yang tawaf wada' itu wajib. Sehubungan itu mohon pencerahan ustaz apa yang perlu dilakukan oleh anak saya selepas perkara itu berlaku 5 tahun yang lepas. Adakah anak saya perlu ke mekah semula untuk membayar dam. Mohon nasihat ustaz.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, tawaf wada' adalah wajib hukumnya bagi setiap orang yang ingin meninggalkan Makkah mengikut muktamad mazhab Syafi'i. Oleh itu, jika tidak dilakukan, maka orang tersebut perlu membayar dam kerana telah meninggalkan perkara wajib. Namun begitu, terdapat pandangan kedua dalam mazhab Syafi'i yang mengatakan bahawa hukum tawaf wada' adalah sunat. Justeru, mengikut pandangan ini, jika seseorang tidak melakukan tawaf wada', maka dia tidak wajib untuk membayar dam serta ibadah umrah yang dilakukan adalah sah. Disebutkan dalam kitab Rawdat al-Talibin (3/116):

أَظْهَرُهُمَا: يَجِبُ. وَالثَّانِي: يُسْتَحَبُّ

Maksudnya: Pandangan yang azhar (lebih kuat) adalah wajib. Pandangan yang kedua, hukumnya adalah sunat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image