BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Tajuk: Kebersihan dan Kesucian

Saya telah membasuh pakaian2 saya dengan menggunakan mesin basuh automatik. Ketika saya menjemur pakaian saya, saya mendapati salah satu seluar dalam saya masih mempunyai kesan air mazi (hanya tompokon yang kecil sahaja). Kemudian saya hanya membasuh seluar dalam tersebut dan meneruskan menyidai pakaian saya tanpa membasuh pakaian2 lain. Sekarang, saya terfikir, apakah hukum pakaian2 lain? Adakah masih bernajis dan saya perlu membasuh semuanya semula? 

Bagaimana pula dengan baldi, ampaian dan tempat yang telah saya sentuh. Jika status pakaian2 lain masih bernajis, adakah saya telah memindahkan najis ke tempat2 lain (yang telah bersentuhan)?


message user image

Jawapan  

  السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tidak dapat dinafikan bahawa perasaan waswas itu tidak akan terlepas daripada setiap manusia. Ia berpunca daripada mainan syaitan yang selalu membisik serta menghasut dan akan membuatkan hati manusia itu selalu dalam keraguan. Maka kita seharusnya cuba menghilangkan keraguan itu dan membina keyakinan diri dengan pelbagai pendekatan yang telah dianjurkan oleh Islam.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan berkaitan membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar. 

Sehubungan itu, pakaian-pakaian yang lain termasuk baldi, ampaian dan segala tempat yang telah disentuh adalah tidak bernajis dan suci daripada najis dan tidak perlu untuk dibasuh semula.

Walau bagaimanapun, adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain. Untuk maklumat lebih lanjut pihak saudara boleh merujuk garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/2024/01/17/garis-panduan-penggunaan-mesin-basuh/

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 22

message user image