BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Wbt kepada

Sahibus Samahah Mufti dan juga ahli panel semua.

Semoga sentiasa dirahmati oleh Allah S.W.T.

Saya tidak tahu bagaimana hendak menceritakan situasi yang saya alami tetapi saya mohon perjelasan daripada pihak ahli panel mengenai perkara yang saya alami ini berkenaan ibu bapa saya. Saya cerita sedikit latarbelakang ibubapa saya sebagai rujukan.

Ibu saya berusia 69 tahun (tahun hadapan bulan 1, 70 tahun) dan bapa saya pula berusia 72tahun. Kedua-duanya masih sihat seperti sihat orang tua. Bapa saya telah mengerjakan Haji dan selepas berumahtangga solat tidak pernah tinggal, walaupun sakit tetap menunaikan kewajipan cuma bab-bab sedekah bapa saya agak berat sedikit. Manakala ibu saya pula bab-bab sedekah kepada sesiapa tidak pernah keberatan dan sifatnya yang suka membantu orang tetapi kelemahan beliau tidak menunaikan solat. Jika menunaikan solat pun bermusim iaitu, jika dia terlibat dengan rombongan ilmiah atau rombongan percutian bersama-sama dengan kawan-kawan beliau, ibu saya pasti akan bersolat. Walaupun telah ditegur oleh bapa saya tetapi hati ibu saya tetap keras dan selalu berkata “Kubur lain-lain”. Sampai sekarang jika ditegur ibu saya akan berkata begitu.

Bapa saya mempunyai pencen dan ibu saya mempunyai pendapatan dari sewa bengkel dimana pendapatan ibu saya lebih 5kali ganda tinggi dari bapa saya. Ibu saya agak boros dan jika tidak cukup duit untuk beliau belanja iaitu untuk rombongan atau apa-apa kegunaan beliau akan meminjam duit orang. Sehingga satu ketika dahulu, orang yang memberi pinjaman itu telah menghubungi kami untuk saya menjelaskan hutang ibu saya. Keadaan ini menyebabkan saya tertekan dan malu dengan sikap ibu saya. Orang sekeliling mengatakan kami membiarkan ibu kami kerana tidak membantu memberi pinjaman. Masyarakat melihat kami adik beradik (3orang) hidup senang tapi tidak mahu membantu ibu. Adakalanya pinjaman itu hanyalah untuk beliau bayar keperluan yang tidak wajar. Akhirnya adik saya yang bongsu diberikan rezeki lebih dari kami dan ibu saya meminta untuk membuat pinjaman dari adik saya. Tujuan adik saya memberi pinjaman itu adalah tidak mahu ibu saya merata membuat pinjaman dengan orang lain. Pinjaman duit dari ibu saya hanyalah untuk kegunaan rombongan percutian bersama-sama dengan kawan-kawan beliau. Hampir setiap bulan ibu saya ingin bercuti. Adakalanya di dalam Malaysia atau di luar negara. Atau rombongan balik hari.

Untuk makluman pihak panel, ibu dan bapa saya tinggal di kediaman sendiri di kawasan bandar. Bapa saya tiada hutang rumah. Kami tiga adik beradik yang semua tidak menyusahkan ibubapa kami. Baru-baru ini saya telah bersuara dan meluahkan kepada ibu saya dihadapan bapa saya, bahawa adik bongsu saya tertekan dengan sikap ibu saya yang terlalu boros dan tidak pandai menguruskan kewangan. Untuk makluman pihak panel, ibu saya cuma membayar kereta sahaja dan hutang-hutang persendirian tetap. Baki yang tinggal dari pendapatan sewa bengkel masih banyak lagi untuk beliau belanjakan. Duit beliau adalah kegunaan ibu saya sendiri. Kami tidak pernah ambik tahu hal belanja beliau sebab beliau telah memeri amaran kepada kami, duit dia jangan ditanya apa kegunaan. Apabila saya menyuarakan adik bongsu saya tertekan dengan sikap ibu saya, ibu saya akan ungkit kepada saya salah satunya, sewaktu adik saya belajar, kereta yang digunakan terlibat dalam kemalangan dan ibu saya yang membayarnya. Itulah modal yang akan digunakan. Beliau akan terus mengungkit dan mengungkit. Pada masa membesarkan kami, ibu saya banyak berkorban tentang kewangan dalam keluarga kami. Bapa saya ketika itu sangat berkira dan kedekut. Jadi adakalanya ibu saya banyak membantu bapa saya.

Kami adik beradik bukan tidak mahu memberi pinjaman kepada ibu kami tetapi kegunaan wang itu tidak wajar hanya untuk rombongan atau kadang-kadang untuk beliau membuat sedekah sedangkan perkara asas ibu saya tidak menunaikan solat fardu membuat kami kecewa. Tetapi apalah hak kami untuk menegur ibu kami hanya mampu berdoa sahaja supaya ibu saya sempat menunaikan solat yang wajib dengan tetap.

Seterusnya ibu saya ini terlalu taksub dengan perkara-perkara ghaib, contohnya jika beliau ingin bertanya sesuatu beliau akan berjumpa dengan sesorang dan orang itu akan menurun dan segala persoalan yang ditanya oleh ibu saya akan dijawab. Tetapi apa persoalan yang ditanya oleh beliau, kebanyakkan betul apa yang diberikan, bertambah lagi ibu saya taksub dengan perkara ini. Bapa saya juga terlibat dengan perkara ini tapi tidaklah terlalu taksub berbanding dengan ibu saya.

Baru-baru ini saya dan adik saya telah mengambil kad bank dari ibu saya kerana ibu saya menjaga akaun bank adik iparnya (adik bapa saya) yang OKU yang tidak berkahwin dan tidak berkeluarga. Pakcik saya tinggal di tempat lain. Pakcik saya mempunyai ramai adik beradik tetapi tidak diendahkan oleh adik beradik yang lain kecuali 3-4 tahun ini bapa saya mula bertanggungjawab dengan adik beliau. Sebelum ini kad ini telah dijaga oleh bapa saya dan dipantau oleh saya. Menurut ibu saya, orang-orang ghaib ini memberitahu bahawa bapa saya telah banyak memakan duit tersebut. Selama 2 tahun lebih bapa saya menjaga segala transaksi saya dapat kesan dan saya akui bapa saya ada terguna duit tersebut dan bapa saya berjanji akan membayarnya. Disebabkan desakan dari ibu saya mengatakan bahawa bapa saya tidak jujur dan banyak mengambil duit dari adik beliau yang OKU, ibu saya memaksa bapa saya menyerahkan kad bank tersebut.

Dijadikan cerita pendek salah satu kad bank CIMB pakcik saya yang OKU itu adalah akaun bersama dengan bapa saya. Disebabkan bapa saya tidak dapat mengeluarkan duit dari akaun beliau sendiri jadi bapa saya memohon untuk membuat pertanyaan di Bank sendiri. Untuk pengetahuan ahli panel, bapa saya mempunyai 3 akaun dari Bank yang sama iaitu, akaun semasa, akaun simpanan dan akaun bersama dengan adik beliau (pencen) tetapi berlainan nombor akaun. Saya meminta pihak bank membatalkan kad bank bapa saya kerana tidak pasti kenapa bapa saya tidak boleh mengeluarkan duit dari akaun simpanan beliau. Pihak kaunter telah tersalah membatalkan akaun bank bapa saya dan telah membatalkan akaun bank pakcik saya bersama dengan bapa saya. Pihak bank terus meminta saya memasuki sedikit duit di dalam akaun pakcik saya kerana jumlah yang ada tidak mencukupi untuk fi yang berkenaan. Saya amat terperangjat kerana sewaktu penyerahan kad bank tersebut baki yang masih tinggal sebanyak RM2500 dan tiga bulan ibu saya pegang sepatutnya baki yang terkumpul mestilah lebih dari RM 4200.00 dari duit pencen terbitan. Ibu saya ada memberitahu kegunaan duit tersebut untuk pembersihan rumah pakcik saya dan lain-lain dan mengatakan bahawa ada resit. Jika dihitung secara logik jumlah pembersihan tidaklah smpai RM 2000.00. Ibu saya ada juga memegang kad bank lain iaitu BANK ISLAM yang lain dan apabila saya dapat melihat penyata akaun terkini, baki yang tinggal hanya puluh ringgit sahaja. Sepatutnya duit yang tinggal mestilah ada di dalam RM 5,000.00. Seharian saya kecewa dengan ibu saya dan menambahkan tekanan kepada saya. Saya menangis dan bebanan saya terima kerana sifat ibu saya. Saya melihat transaksi di bank Islam apabila duit masuk sahaja ibu saya akan keluar secepat mungkin. Tidak pasti keguanaan apa. Perbelanjaan pakcik saya setiap minggu lebih kurang RM150.00 untuk makan sahaja. Ada kegunaan di pasaraya, kedai makan yang ketika itu tiada pakcik saya bersama dengan ibubapa saya.

Untuk sebagai rekod, dua akaun bank pakcik saya iaitu CIMB adalah kemasukan  duit pencen dan BANK ISLAM adalah kemasukan bantuan dari Kerajaan. Untuk pengetahuan pihak panel, ibu saya yang berusaha untuk mendapatkan pencen untuk adik ipar beliau setelah 16tahun arwah nenek saya meninggal. Bank Islam adalah bantuan Zakat yang di usahakan oleh ibu saya dan juga saya usaha dari juga seperti STR dan JKM. Ibu saya selalu mengungkit jika tidak disebabkan usaha beliau, pakcik saya tidak akan menerima semua bantuan. Saya akui ibu saya yang bersusah payah kesana sini untuk mendapatkan bantuan tetapi semua dokumen dan borang-borang semua saya yang isikan dan saya tidak pernah pun mengungkit berbanding ibu saya.

Perkara ini saya maklumkan kepada adik saya, dan dengan berat hati setelah kami bermesyuarat ibu kami menyerahkan kad tersebut kepada saya. Adik saya bertanya kepada bapa saya kerana dia adalah penjaga pakcik saya iaitu adik beliau sendiri. Siapakah yang layak untuk menguruskan akaun tersebut, bapa saya mengambil keputusan untuk diberikan kepada saya.

Ibu saya masih tidak berpuas hati dengan perkara ini, seperti saya maklumkan terlebih awal, ibu saya memaklumkan bahawa pakcik saya ada “isteri dan keluarga” di alam lain. Ibu saya berkata, isteri pakcik saya tidak suka apa yang adik dan saya buat dan ibu saya mengatakan saya juga tidak amanah. Ibu saya juga berkata bahawa banyak perkara-perkara aib saya yang telah diberitahu oleh orang-orang ghaib tentang diri saya dan ibu saya terlalu kecewa. Saya terlalu kecewa dengan sikap ibu saya yang lebih taksub dan percaya dengan perkara-perkara begini. Ibu saya menuduh mengatakan saya ada nenek tua mengikut dari keturunan bapa saya dan telah sebati dengan diri saya dan menyuruh saya berubat. Saya terlalu penat dengan perkara-perkara begini, sebelum ini saya menurut apa yang ibu saya katakan mengenai saya, berubat secara tradisional. Tetapi di usia saya akan hampir 50 tahun saya sudah tidak mahu terlibat dengan perkara-perkara begini. Duit telah banyak habis tetapi penyakit tetap ada juga. Saya lebih tenang dengan perkara wajib yang diperintahkan oleh Allah.

Sewaktu saya berkerja, hampir setiap pagi saya akan membawa ibu bapa saya untuk bersarapan dan begitu juga untuk makan malam. Saya tinggal bersama-sama dengan ibu bapa sejak dari lahir sehinggalah saya tidak berkerja pada tahun lepas pada bulan 12. Saya akui kadang-kadang saya bercakap kasar dengan ibu saya apabila sewaktu perkara yang kami bahaskan. Ibu saya selalu mengeluarkan perkataan anak derhaka kepada saya dan memberitahu kepada saya, dia kadang-kadang menangis di dalam hati dengan perangai saya yang suka melawan. Apa yang dibahaskan adalah perkara-perkara yang wajib ibu saya perlu ikuti. Saya berdoa setiap malam supaya saya tidak terus menyakiti hati ibu saya walapun apa yang ibu saya buat itu ada kesalahan disisi Allah. Dan saya tidak pasti disebakan saya tiada pendapatan perkerjaan saya telah tinggal di rumah kawan baik saya sehingga sekarang. Kadang-kadang saya balik ke rumah adik saya untuk menjaga anak-anak buah saya. Begitulah rutin saya setiap bulan sehingga sekarang disamping mencari perkerjaan selama hampir setahun. Tidak pasti adakah doa saya diterima oleh Allah supaya saya dijauhi dari terus menyakiti hati ibu saya dan tinggal di rumah kawan baik saya. Apa yang pasti saya tenang menjauhi dari ibu saya sendiri. Sewaktu saya tinggal bersama dengan ibubapa saya, hampir setiap masa ibu saya bercerita pasal pusaka sehingga saya rasa sangat bosan. Ini pun kadang-kadang boleh membuat perbalahan mulut di antara saya dan ibu saya jika membincangkan hal pusaka. Tetapi ibu saya cakap melalui orang ghaib saya lari dari rumah. Saya tidak lari dari rumah, masih berjumpa dengan mereka cuma rumah ibubapa saya banyak sangat aura negative dan saya tidak mahu terus menyakiti hati ibu saya.

Baru-baru ini ibu saya meminta wang dari akaun pakcik saya untuk membuat sambutan hari jadi pakcik saya. Beliau telah menempah kek dari jiran kami. Bagi saya tiada masalah, kemudian saya meminta no akaun pembuat kek tersebut serta nombor telefon untuk rujukan dan saya juga menyediakan lejer serta invoice setiap kali transaksi setelah saya mula ambik alih menjaga akaun pakcik saya. Apabila saya meminta butir-butiran tersebut ibu saya melenting dan mengatakan menyusahkan beliau. Nombor akaun telah diberikan tetapi no hp pembuat kek itu ibu saya tidak mahu memberinya. Saya tidak pasti kenapa ibu saya tidak mahu memberikan nombor penjual kek tersebut. Kemudian ibu saya berkata, kalau begini urusan untuk membeli kek pun susah, ibu saya memberitahu biar dia sahaja bersedekah. Kemudian ibu saya mengatakan, “keluarga isteri” pakcik saya tidak suka apa yang saya buat ini. Saya maklumkan saya cuma menjalankan amanah sahaja dan ibu saya memberitahu kepada saya, AMANAH KONON dan terus berkata dan ibu saya suka mengeluarkan kata-kata kepada saya “sifat saya yang kurang ajar membuatkan saya sukar mendapat pekerjaan”. Itulah ayat yang di suka ulang dan ulang.

Ahli panel, saya terlalu kecewa seorang ibu suka  berdoa dan mengatakan ayat begitu jika kehendak beliau tidak diikuti dan suka mengungkit apa yang beliau telah lakukan sewaktu membesarkan kami.

 

Soalan saya

1)Adakah perbuatan ibu saya mempercayai benda-benda ghaib dan taksub jatuh kepada mensyirikan Allah?

2)Bagaimana islam melihat doa ibu saya yang kerap mengatakan saya anak kurang ajar dan juga sukar mendapat perkerjaan disebabkan saya suka melawan dan tidak mengikut kehendak beliau.

3)Bagaimana hukum ibu saya yang suka mengungkit bantuan yang telah diberikan sewaktu kami tidak mempunyai perkerjaan atau ketika adik pertama saya tersedak untuk meminjam duit dan  jika kami tidak memberi wang kepadanya beliau akan mengungkit. Adik bongsu saya yang kerap memberi pinjaman duit kepada ibu saya tetapi jika tidak diberikan ibu saya akan mengungkit bantuan yang telah diberikan sewaktu adik saya kemalangan kereta. Itulah modal ibu saya.

4)Adakah menjadi kesalahan saya menjaga akaun pakcik saya yang OKU. Untuk makluman saya baru mengambil alih akaun tersebut baru sebulan sahaja. Ibu saya suka mengugut jika saya tidak memberi kehendak apa yang beliau untuk urusan pakcik saya, beliau akan berkata “keluarga dan isteri pakcik saya amat marah dengan saya”.

5)Bagaimana duit yang telah digunakan atau terpakai oleh ibu saya jika beliau tidak mahu membayar, adakah kami wajib menggantinya?

6)Adakah menjadi kesalahan saya terus menjauhi dari ibu saya disebabkan saya tidak mahu mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan ibu saya akan terus mengelurkan perkataan “Anak Derhaka” kepada saya. Jauh disudut hati bapa saya berharap satu hari saya akan balik ke rumah tetapi fikiran saya kusut apabila pulang kerumah ibubapa saya.

7)Apakah rawatan yang perlu di ambil oleh ibu saya, adakah wajar saya membawa beliau berjumpa pakar  psikiatri atau ustaz yang pandai merawat jika ada benda yang tidak baik ibu saya ambil.

Sebagai rekod ibu saya anak yatim piatu dan tinggal di rumah Datuk Saudara yang kaya tetapi menderita dari segi fizikal dan mental sehingga berkahwin dengan bapa saya.

8)Bagaimana nasihat yang terbaik kepada ibu saya dengan situasi begini. Saya sebagai sorang anak tidak mahu ibu saya terseksa di dalam kubur atas kesalahan yang dilakukan seperti jika tidak sempat membayar hutang kepada manusia, syirik kepada Allah dan tidak sempat menunaikan solat wajib. Setiap masa saya memikirkan balasan-balasan di dalam kubur jika ibu saya tidak sempat bertaubat.

Maaf kerana mengambil masa yang panjang membaca luahan hati saya kerana terlalu lama saya pendam dan bertahun-tahun saya mengadu kepada Allah tetapi kali ini saya mohon untuk penjelasan dari ahli panel yang berpengetahuan luas.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Sekiranya memang benar ibu percaya kepada perkara tahyul dan khurafat, maka beliau telah melakukan dosa besar dan boleh membawa kepada syirik.

2. Jika ibu mendoakan keburukan kepada anaknya tanpa justifikasi dan alasan yang munasabah, maka doa tersebut tidak dikira. Begitu juga jika ibu tidak meredai perbuatan anaknya tanpa sebab-sebab yang munasabah dan bersifat emosi semata, in sha Allah anak tidak dikira derhaka. Walaupun begitu, menjadi kewajipan kepada anak untuk berbuat baik dan menghormati mereka.

3. Bantuan atau nafkah ibu bapa kepada anak adalah tanggungjawab mereka kepada anak-anaknya. Mengungkit nafkah yang diberikan bukanlah suatu perkara yang baik dan tidak patut dilakukan. Hal ini kerana nafkah adalah kewajipan ibu bapa yang telah ditetapkan oleh syarak. Bahkan anak tidak wajib memberikan nafkah kepada ibu bapa selagi mana ibu bapa mampu mencari rezeki.

4. Tidak menjadi satu kesalahan kepada puan untuk menguruskan akaun pakcik yang OKU kerana ia merupakan tanggungjawab keluarga terdekat menguruskannya. Begitu juga tidak dibenarkan untuk ibu puan mengurus dan membelanjakan duit daripada akaun pakcik OKU kerana difahami ibu puan seorang yang boros dan tidak boleh menguruskan harta. Oleh itu, ibu puan termasuk dalam golongan yang haram menguruskan harta sendiri dan dikhuatiri transaksi ibu Puan tidak sah.

5. Duit yang telah dipakai oleh ibu dikira sebagai hutang yang wajib dilunaskan oleh penghutang. Maka ibu puan perlu melunaskan hutang-hutangnya  dengan sendiri kerana beliau masih mempunyai pendapatan. Anak-anak tidak diwajibkan untuk melunaskannya walaupun ibu telah meninggal dunia.

6. Jika sekadar berjauhan seketika untuk memulihkan emosi dan ketenteraman hati puan, maka itu diharuskan selagi tidak memutuskan hubungan. Walaupun begitu, masih menjadi kewajipan kepada Puan untuk menghormati ibu puan. Memutuskan hubungan dengan ibu adalah berdosa.

7. Boleh dapat bantuan pakar atau orang yang dihormati yang dikenali oleh ibu untuk menasihati ibu puan.  

8. Tanggungjawab kita sebagai anak hanyalah menasihati dan mendoakan mereka. Selebihnya adalah urusan antara ibu puan dengan Allah SWT. Teruskan berdoa untuk ibu Puan kerana doa seorang anak untuk ibu bapa adalah mustajab in sha Allah. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ ‌إِلَّا ‌مِنْ ‌ثَلَاثٍ: صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ، وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ، وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Jika mati seseorang manusia, terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepada ibu bapanya. (Riwayat al-Tirmizi)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 71

message user image