Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt ..
Saya ada dengar dalam satu video ini, ada seorang pendakwah menyatakan bahawa haram hukumnya menceritakan masalah rumahtangga kepada ibu bapa. Benarkah ada hadisnya, saya meragui kenyataan pendakwah itu. Mohon pencerahan.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, syarak melarang membuka aib pasangan tanpa keperluan khususnya berkaitan hubungan (persetubuhan) suami isteri. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut. (Riwayat Muslim)
Berpandukan hadis tersebut, Nabi SAW menegur keras perbuatan suami atau isteri yang menceritakan rahsia rumah tangga. Larangan ini menunjukkan bahawa mendedahkan aib pasangan adalah perkara yang tidak dibenarkan dalam syarak kecuali jika wujud keperluan tertentu yang menuntut seseorang berbuat demikian seperti untuk tujuan mendapatkan nasihat atau menyelesaikan masalah.
Oleh itu, menceritakan konflik rumah tangga kepada ibu bapa bagi tujuan mendapatkan nasihat, panduan atau mencari jalan perdamaian adalah dibenarkan selagi mana ia tidak melibatkan pendedahan aib pasangan secara berlebihan. Syarak memberi ruang untuk seseorang mendapatkan bantuan daripada pihak yang dipercayai termasuk ibu bapa sekiranya dapat meredakan ketegangan dan membantu mencari solusi. Namun sebaliknya sekiranya keadaan bertambah buruk maka elok dielakkan.
Sekian, terima kasih.