BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Anak perempuan saya (skrg berumur 25 tahun) tidak pernah dikhatankan. Pada masa itu ada pendapat mengatakan anak perempuan tidak wajib dikhatankan. Apakah yang saya lakukan itu haram? Apakah implikasi keadaan ini kepada anak perempuan saya. Adakah dia wajib dikhatankan walaupun sudah dewasa?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, secara asasnya hukum berkhatan bagi lelaki dan perempuan di sisi pandangan masyhur dalam mazhab Shafi’i adalah wajib. Kewajipan ini berdasarkan hadis yang disebutkan oleh Aishah R.anha:

وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ

Maksudnya: Apabila masuk bahagian yang telah khatan (zakar) dengan bahagian yang telah khatan (faraj), maka diwajibkan untuk mandi (junub). (Riwayat Muslim)

Hal ini selaras dengan fatwa yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2009 bahawa:

“Amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun, Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama', Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan”.

Berdasarkan fatwa MKI di atas, dapat difahami bahwa hukum khatan bagi wanita ini boleh berubah dan diberi kelonggaran sekiranya terdapat kemudaratan kepada seseorang wanita dan sebagainya. Maka, dalam melaksanakan amalan khatan ini masyarakat terutama mereka yang sudah dewasa hendaklah merujuk kepada pakar untuk menentukan kesesuaiannya dari segi tahap kemudaratan supaya dapat mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.

 Sesungguhnya setiap yang disyariatkan oleh Allah SWT itu tidaklah bertujuan untuk menyusahkan dan memudaratkan manusia. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image