Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya isteri bekerja, gaji kasar RM5359.66 dan gaji bersih RM3059.42 setiap bulan dan menerima nafkah RM1500 daripada suami termasuk untuk bil utiliti, barang dapur (kering dan basah) serta duit kereta setiap bulan. Kami telah capai kata sepakat saya membantu suami apa yang patut sebab itu suami bagi RM1500. Saya ada sebuah rumah yang mana disewakan dan pendapatan sewaan RM800 sebulan. Saya juga memberi RM740 sebulan kepada mak abah saya di kampung.
Saya nak tanya cara sebenar untuk kiraan zakat pendapatan saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, hukum mengeluarkan zakat pendapatan adalah wajib bagi setiap umat Islam. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 267 :
“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
Di negeri Selangor, fatwa berkenaan zakat pendapatan telah diwartakan pada 9hb Mei 2002 bahawa:
(1) Hukum zakat pendapatan adalah wajib ke atas umat Islam.
(2) Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat Zakat Selangor.
Zakat pendapatan adalah zakat yang dikenakan terhadap semua jenis pendapatan termasuk upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperolehi daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sekali sekala yang dihimpunkan jumlahnya pada tahun tersebut bermula daripada awal tahun sehingga akhir tahun. Kewajipan untuk membayar zakat pendapatan adalah apabila pendapatan tahunan melebihi jumlah nisab. Sekiranya pendapatan tahunan tidak melebihi nisab, maka tidak menjadi kewajipan untuk membayar zakat pendapatan. Bagi perkiraan nisab dan cara kiraan zakat yang lebih tepat, boleh rujuk Kalkulator Zakat di website Lembaga Zakat Selangor, pautan: https://www.zakatselangor.com.my/kira-zakat/, atau hadir sendiri ke mana-mana kaunter Lembaga Zakat Selangor yang berhampiran.
Sekian, terima kasih.