Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT..
Saya ada soalan mengenai ibadah umrah khususnya berkenaan sa'ie. Saya sedia maklum bahawa semasa tawaf, kita perlu berada dalam keadaan suci & berwuduk maka sentuhan antara lelaki dan perempuan yang disengajakan adalah dilarang.
Soalan saya, bagaimana pula dengan sai'e? Adakah perlu berwuduk semasa sai'e? Dan bolehkah suami isteri berpegangan tangan secara bersentuhan kulit semasa sai'e atas keperluan tertentu misalnya suami yang membantu isteri yang sedang hamil.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, sa'ie adalah sebahagian daripada rukun haji dan umrah sama seperti tawaf. Namun begitu, tidak disyaratkan berwuduk atau suci daripada hadas ketika melakukan sa'ie. Oleh itu, tiada masalah untuk suami isteri berpegangan tangan sepanjang sa'ie dan sa'ie yang dilakukan adalah sah.
Sekian, terima kasih.