BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Saya akan menjalani satu pembedahan buang fibroid dan perlu menjalani proses cuci rahim atau dnc kerana ada ketulan kecil dalam rahim. Pembedahan mungkin akan dijalankan pada jam 3 petang atau sebelum masuk waktu asar. Soalan saya;

1) Jika pembedahan selesai sebelum waktu maghrib tetapi saya masih tidak sedarkan diri sepenuhnya kesan daripada ubat bius, adakah saya boleh menjamakkan solat (hanya jamak, tanpa qasar) gabungkan solat zohor dan asar dalam waktu zohor sebelum menjalani pembedahan?

2) Kesan daripada pembedahan secara open surgery, pergerakan saya akan terbatas. Setelah sedar sepenuhnya dan masih berada di hospital, adakah saya boleh melakukan solat jamak (takdim atau takhir, boleeh qasar atau tidak?) jika telah masuk waktu solat? Atau saya perlu solat mengikut waktu?

3) Bagaimana cara untuk saya solat sebagai pesakit yang telah dibedah perutnya? Ambil wuduk pula bagaimana? Adakah boleh jika sekadar sapu air pada anggota wajib walaupun ada jarum ditangan?

4) Jika katil tidak menghadap ke arah kiblat, adakah wajib untuk saya pusing katil ke arah kiblat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam memberikan keringanan kepada pesakit dan petugas yang terlibat dalam pembedahan yang panjang, supaya tidak terlepas kewajipan solat. Pilihan untuk menjamakkan solat atau menangguhkannya untuk qadha adalah dibenarkan dan harus mengikut keadaan dan waktu yang paling sesuai. 

Walau apa jua sekalipun kewajipan solat tidak pernah gugur dalam apa jua keadaan, dalam masa yang sama Islam memberikan  kelonggaran dalam kes-kes darurat, seperti ketika menjalani pembedahan panjang yang boleh menyebabkan waktu solat luput. 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1) Dibolehkan untuk jamak solat tanpa qasar bagi solat Zohor dan Asar dalam waktu Zohor sebelum pembedahan bermula atas faktor tempoh pembedahan yang memakan masa panjang sehingga luput waktu solat atau pesakit dikenakan bius dan tidak sedarkan diri selepas pembedahan. Kaedah fiqh ada menyebut:

 الضَّرُوْرَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: Keringanan yang diberikan hanya sekadar menghilangkan darurat tersebut. 

2) Pergerakan untuk solat adalah mengikut situasi pesakit dalam kadar termampu seperti duduk, baring mahupun baring mengiring. Sekiranya pergerakan selepas pembedahan amat terbatas, dibolehkan untuk melaksanakan solat jamak takdim atau takhir tanpa qasar. Namun, sekiranya masih berkemampuan dibolehkan juga melaksanakan solat tamam (sempurna) di akhir waktu Zohor dan kemudiaannya disambung solat Asar pada awal waktunya (digelar jamak suri).

3) Kaedah solat bagi pesakit yang dibedah perut, boleh dimulakan dengan wuduk menggunakan spray bagi memudahkan dan meringankan pergerakan. Air wuduk perlu diratakan ke anggota wajib wuduk. Sekiranya terdapat jarum dan risau terkena air lalu menyebabkan pembiakan kuman, maka bolehlah dilalukan sahaja air di kawasan tersebut. 

4) Sekiranya terdapat ruang dan kakitangan yang dapat membantu mengalihkan katil menghadap kiblat, maka bolehlah berbuat demikian. Namun, sekiranya tidak dibolehkan, maka cukup sekadar solat di tempat yang sedia ada sahaja. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 25

message user image