BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz/ustazah, saya ingin bertanya untuk mendapatkan kepastian tentang masalah saya. Saya perlu mengambil ubat hormon atas faktor kesihatan, tetapi ubat ini menyebabkan tempoh period saya menjadi panjang dari kebiasaannya (setakat ini sudah 14 hari masih belum berhenti tetapi keluar sedikit sahaja setelah hari ke 8). Jadi soalan saya, adakah saya perlu tunggu selama 15 hari lalu mandi wajib dan solat pada hari ke 16. Atau saya boleh mandi wajib dan beribadah seperti biasa pada hari ke 9? (kerana kebiasaannya period hanya datang selama 7 atau 8 hari sebelum mengambil ubat hormon ini. 

Terima kasih ustaz/ustazah atas ruang dan waktu yang diberikan untuk menjawab soalan ini. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Seseorang wanita yang mengambil ubat hormon adakalanya mengalami perubahan hormon yang menyebabkan berlaku kekeliruan apabila darah yang keluar menjadi tidak menentu. Seseorang yang mengalami darah yang keluar melebihi 15 hari 15 malam telah menunjukkan darah yang keluar tersebut berlaku percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Jadi, untuk menentukan perbezaan darah tersebut, ia boleh dibezakan dengan dua kaedah tersebut: 

  1. Kaedah Tamyiz: iaitu dengan membezakan jenis darah yang keluar sama ada darah kuat atau darah lemah. Darah kuat dianggap sebagai haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Sebagai contoh: Darah kuat iaitu hitam pekat atau merah pekat keluar selama 8 hari manakala darah merah lemah, coklat atau kekuningan keluar selama 23 hari. Maka 8 hari tersebut merupakan darah haid dan 23 hari tersebut adalah darah istihadhah atau suci. Kaedah ini perlu diutamakan.
  2. Kaedat adat: Sekiranya tidak dapat membezakan jenis darah (Kaedah Tamyiz), puan hendaklah mengikut adat kebiasaan haidnya sebelum mengambil ubat hormon. Jika kebiasaan haidnya 7 hari, dan 24 hari adalah suci, maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid bulan sebelumnya. 

Puan perlu menunggu cukup 15 hari 15 malam untuk kitaran haid pertama selepas makan ubat hormon. Apabila telah dikenalpasti darah melebihi 15 hari 15 malam, maka Puan boleh mengikuti antara dua kaedah di atas. Sekiranya darah berhenti pada hari ke-14, maka itu adalah kiraan adat yang baru, bukan 7 atau 8 hari lagi.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image