Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Ustad, bolehkah kita solat tetapi apabila sujud tidak rata. Contohnya solat jemaah diruang tamu, akan tetapi terdapat karpet yang tebal. Makmum yang dihujung akan sujud kepalanya dilantai akan tetapi anggota lain di karpet. Ataupun sujud di atas kedua lantai Dan karpet (tidak rata). Sah atau tidak solat yang seperti ini?
Dulu waktu sekolah saya pernah solat menggunakan bantal sebagai sejadah. Hanya di muka saja yang diatas bantal tebal itu ketika sujud. Bolehkah sebegini? Jika sujud itu tidak rata kerana sejadah atau permukaan karpet yang tebal.
Jawapan
Sujud merupakan rukun fi'li dalam solat dan mempunyai syarat tersendiri yang perlu dipenuhi ketika seseorang menunaikan solat. Antara syarat sujud adalah perlu berlaku dengan tujuh anggota, iaitu dahi, 2 tapak tangan, 2 lutut, dan 2 tapak jari kaki kecuali bagi yang tidak berkemampuan kerana uzur atau seumpamanya. Selain syarat ini, dahi perlu berada tetap ketika sujud dengan erti ia menampung bebanan badan ketika sujud, bukan hanya bersentuhan dengan tempat sujud semata. Syarat seterusnya adalah berlaku tankis ketika sujud, iaitu bahagian bawah badan berada lebih tinggi daripada bahagian atas badan. Tidak disyaratakan bahawa permukaan solat atau sujud perlu rata ketika menunaikan solat.
Manakala sujud di atas bantal tebal, seandainya kepala berasa tetap (istiqrar) di atas tempat sujud, maka sujud itu adalah sah. Numun jika kepala berasa terapung dan tidak tetap di atas tempat sujud, maka sujud itu dianggap tidak sah.
Sekian, terima kasih.