Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam
Saya ingin memohon sedikit penjelasan dan rujukan daripada pihak mufti negeri berkaitan hukum dan perlaksanaan di mahkamah syariah:
1. Apakah hukum dan syarat sah rujuk menurut hukum syarak?
2. Bagaimanakah perlaksanaan atau prosedur rujuk tersebut di mahkamah syariah di malaysia?
3. adakah terdapat fatwa, garis panduan atau sumber rujukan rasmi yang dikeuarkan oleh pihak jabatan mufti berhubungan isu ini (rujuk) ?
4. apakah pandangan hukum islam terhadap pasangan muslim yang memilih untuk menyelesaikan perihal rumah tangga melalui mahkamah sivil dan bukan syariah berkaitan rujuk?
Jawapan
1. Hukum rujuk adalah bergantung kepada keadaan dan situasi.
a) Hukum asal rujuk adalah harus
b) Sunat, jika rujuk itu mampu memperbaiki hubungan dan membawa banyak kebaikan
c) Wajib, jika suami yakin dia boleh menjalankan tanggungjawab dan sekiranya tidak rujuk akan membawa kemudaratan yang besar kepada pasangan.
d) Haram, jika rujuk itu dengan niat untuk menahan isteri daripada berkahwin lain sedangkan dia tidak mahu hidup bersama
e) Makruh, jika suami yakin dia tidak mampu berlaku adil atau akan menzalimi isterinya.
2. Secara umumnya syarat sah rujuk pula adalah :
a) Talak 1 atau 2
b) Masih dalam tempoh iddah
c) Talak yang berlaku bukan tebus talak (bukan khulu‘)
3. Rujukan Jabatan Mufti adalah Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 serta kitab-kitab Ulamak Muktabar mazhab khususnya mazhab Syafi'i.
4. Rujuk di dalam ikatan perkahwinan orang Islam merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu, Mahkamah Sivil tidak berbidang kuasa membicarakan permohonan atau pengesahan rujuk.
والله أعلم بالصواب
Sekian terima kasih