BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, ustaz. Saya ingin bertanya tentang memakai baju etnik di waktu majlis persandingan.Saya berasal dari etnik Rungus (Sabah), dan pakaian tradisional Rungus untuk perempuan mempunyai loceng-loceng yang dipasang di pakaian tersebut. Adakah tidak dibolehkan untuk memakai pakaian tersebut? Saya juga ditegaskan daripada keluarga untuk memakai pakaian tradisional kami. Moga diberikan pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, secara amnya, Islam tidak pernah menetapkan satu bentuk atau kaedah pemakaian yang khusus bagi setiap muslim. Dengan kata lain, ia merupakan salah satu rahmat Allah SWT kepada para hambanya. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Aʿrāf ayat 26:

{ یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰ⁠رِی سَوۡءَ ٰ⁠ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ }

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Manusia diberikan pilihan untuk memakai pakaian yang bersesuaian dengan dirinya. Ayat di atas juga menggariskan tiga bentuk pakaian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia.

libasa - merupakan pakaian asas untuk menutup aurat

risha - merupakan pakaian untuk menampakkan kecantikan 

taqwa - kiasan kepada amal soleh

Selain itu, melalui kaedah fiqh pula, setiap sesuatu itu, pada asalnya adalah diharuskan. Maka, dapat kita fahami daripada kaedah fiqh yang digunakan oleh imam al-Suyuthi ini bahawa memakai pakaian tradisi atau adat bagi sesuatu kaum, tempat dan perayaan tidak menjadi kesalahan, melainkan dengan tujuan untuk menarik perhatian dan menjolok mata. Namun, keluasan dan kelonggaran yang diberikan oleh Islam ini mestilah menepati ciri-ciri pakaian yang selari kehendak syarak.

Hal ini kerana, di antara tuntutan memakai pakaian adalah bertujuan untuk menjaga kehormatan diri, tidak mendedahkan aurat, pembaziran, syuhrah (ujub dan takabur) serta tidak berniat meniru agama yang lain. 

Kesimpulannya, selagi mana setiap pakaian yang digayakan memenuhi kehendak syariat Islam, ianya diharuskan serta dibolehkan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 59

message user image