Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada soalan berkenaan najis darah haid yang terkena pada seluar. Seluar dalam yang terkena najis darah haid telah dibersihkan, namun saya kurang pasti status kebersihan seluar luar berwarna hitam. Seluar luar berwarna hitam tersebut tiada bau darah, tiada kesan tompokan dan tidak dapat dikesan warna kerana seluar berwarna hitam. Mulanya saya rasa yakin seluar luar tersebut bersih, tetapi kemudian berasa was-was. Apakah saya boleh terus basuh dan menggunakan seluar hitam tersebut untuk solat seperti biasa?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bersuci dari najis itu wajib apabila diyakini sesuatu itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Namun, sekiranya najis yang terkena pada pakaian itu berlaku dalam keadaan syak atau was-was, maka ia tidak memberikan apa-apa kesan padanya melainkan setelah diyakini bahawa najis tersebut terkena padanya. Hal ini kerana perkara yang dzan tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Najm ayat 28:
Maksudnya: Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).
Justeru, puan hendaklah mengambil jalan yang yakin bahawa pakaian tersebut telah suci daripada najis dan tidak perlu untuk berwas-was atau syak wasangka sama ada pakaian itu masih lagi bernajis ataupun tidak.
Sekian, terima kasih.