BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Maaf mengganggu. Saya nak bertanya mengenai harta peninggalan. Saya seorang wanita berusia 27 tahun, belum berkahwin. Soalan saya, sekiranya terjadi apa-apa kepada saya yang menyebabkan kematian, ke mana aliran harta saya akan pergi. Saya ada ambil insurans dan mak saya sebagai penama. Sekiranya terjadi sesuatu kepada saya dan mak saya yang menyebabkan kematian, kemana aliran wang insurans akan pergi.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, pertamanya, jika saudari pemegang polisi insurans yang bersifat konvensional perlu dihentikan sebagaimana yang diputuskan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 15 Jun 1972 telah memutuskan bahawa insurans (konvensional) itu haram kerana terdapat perkara-perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam atau pun terlibat dengan perkara yang Islam larang. Pilihan yang ada bagi umat Islam adalah takaful. Secara umumnya, meletakkan sama ada ibu bapa, suami atau anak sebagai penama sebenarnya hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Penama bukanlah pemegang hak tersebut. Ia sebenarnya telah diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 lagi. Fatwa tersebut berbunyi; 1. Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak. 2. Bahawa orang-orang Islam tidak boleh melantik penama (Nominee) oleh kerana penama mengikut definisi undang-undang awam (sivil) adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah. 3. Oleh itu udang-undang awam (sivil) yang berkenaan hendaklah dipinda supaya sebarang penamaan (Nomination) oleh seseorang Islam menjadi tidak sah. Ini bermakna peruntukan mengenai Nomination atau perlantikan nominee tidak tertakluk kepada orang-orang yang beragama Islam sama ada sesuatu Nomination itu dibuat sebelum atau selepas fatwa ini dipersetujui oleh Raja-raja Melayu. Secara umumnya, penama hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah sahaja, sama ada pampasan takaful/insurans. Penama tadi bertanggung jawab untuk mengagih-agihkan harta-harta tadi kepada pewaris si mati mengikut hukum faraid. Sebaiknya jika saudari was-was berkenaan penama ini antara langkah terbaik adalah dengan meletakkan lebih daripada 1 penama. Ini adalah bagi memudahkan urusan pembahagian pampasan kepada yang berhak mengikut kaedah Faraid jika peserta (saudari) dan mak (penama) meninggal dunia. Kesimpulannya, pampasan atau ke mana aliran harta itu pergi setelah saudari selaku peserta dan mak saudari selaku penama meninggal dunia adalah diagihkan melalui Faraid yang akan diuruskan oleh waris terdekat melalui institusi yang telah diberi hak menguruskan harta pusaka iaitu Unit Pembahagian Pusaka Kecil di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Tinggi Syariah dan Amanah Raya Berhad ataupun boleh terus ke laman sesawang www.wasiat.com.my yang diurus oleh Majlis Agama Islam Selangor dengan kadar fi yang rendah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 182

message user image