Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya ingin bertanya beberapa perkara kerana ia menggagu kehidupan sehari saya dan saya ada masaalah was2 yang teruk sekarang
1.Adakah batal solat jika kita tidak niat dalam hati ketika solat, hanya niat di mulut ?oleh kerana saya ada masaaalh was2 benda tu secara tiba2 datang terdetik dalam fikiran adakah solat dulu2 aku niat tak dalam hati andai kata tak niat adakah batal solat saya ? Tak tenang saya pikir hal2 begini
2.berkaitan dengan niat wudhu ,sama jugak dengan yang atas was2 saya pikir dulu2 saya niat ke tak wudhu ,kalau tak niat macam mana tak sah ke wudhu saya selama ni? Andai kita tidak tahu perkara itu bagaima? ,saya sedar saya jahil dulu2 kerana tidak ambik tahu perkara ini,ada yg kata kalau kita dan niat nak pergi ambik wudhu itu dikira dah dikira niat betul ke?saya sampai menangis pikir hal ini kerana saya ada masaalah was2 yang teruk sekarang
saya harap sangat soalan saya ada jawapanye terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara umumnya, sesuatu solat yang hendak dikerjakan perlu disertakan dengan niat. Niat merupakan salah satu rukun yang terdapat dalam rukun-rukun solat sama ada ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat. Imam Khatib al-Shirbini di dalam al-Iqna' menjelaskan bahawa niat daripada segi syarak membawa pengertian:
Maksudnya: Niat ialah memutuskan sesuatu perbuatan (di dalam hati) yang diikuti dengan pelaksanaannya.
Tujuannya ialah supaya dapat membezakan sesuatu ibadah dengan ibadah yang lain seperti membezakan solat fardu dengan solat sunat. Di samping itu, niat juga dapat memupuk seseorang agar melakukan ibadah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
Selain itu, perlu diketahui bahawa tempat berlakunya niat adalah di dalam hati. Hal ini kerana niat hanya diambil kira apabila diniatkan di dalam hati seiring dengan takbir yang dilafazkan. Perihal ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam Rawdhah al-Talibin:
Maksudnya: Wajib memulakan niat dengan hati ketika memulakan takbir dengan lisan.
Dalam menjawab persoalan di atas:
1. Seseorang yang hendak mengerjakan solat perlu berniat di dalam hati ketika mengerjakan solat. Sesiapa yang mengerjakan solat tanpa berniat di dalam hati maka solatnya adalah tidak sah sama ada sengaja tidak berniat atau terlupa. Meskipun begitu, Allah SWT Maha memaafkan hamba-hambanya yang melakukan kesilapan atas kejahilan yang lalu. Oleh itu, solat yang telah dikerjakan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diulang semula. Puan hanya perlu memastikan bahawa solat-solat yang mendatang dikerjakan dengan menghadirkan niat di hati seiring dengan lafaz takbir yang diungkapkan.
2. Perlu difahami membaca niat wuduk bukanlah rukun dan ia berbeza dengan berniat wuduk. Membaca niat adalah perbuatan menyebut lafaz niat secara lisan. Adapun berniat wuduk adalah lintasan di dalam hati. Maka tertinggal bacaan niat wuduk adalah masih sah wuduk tersebut.
Sekian, terima kasih.