Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya baru disahkan keguguran (missed miscarriage) di usia kandungan baru 10 minggu, dengan keadaan kantung kosong dan kandungan tak berkembang. Semalam mula pendarahan yang banyak sehingga sekarang dan masih tunggu kantung turun sepenuhnya.
Saya ada buat carian mengenai status darah saya, tapi masih keliru, adakah darah saya dihukum nifas atau hanya istihadah? Adakah darah keguguran sebelum ada bayi yang terbentuk tidak dihukum nifas?
Semoga mendapat pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, darah yang keluar tersebut dikategorikan sebagai darah nifas. Ini kerana nifas ialah darah yang keluar setelah kosong rahim daripada kandungan sekalipun yang keluar itu dalam bentuk alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), dan sebelum berlalu sekurang-sekurang suci (selepas kelahiran) iaitu selama 15 hari. Sekiranya seseorang melihat darah setelah kelahiran selepas selang masa 15 hari dan ke atas, maka hal yang demikian tidak dianggap sebagai nifas. - (Hasyiyah Qalyubi, 1/112).
Sekian, terima kasih.