Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang solat Jamak Qasar.
Selalunya semasa musafir, saya akan solat jamak qasar bersama ahli keluarga. Selepas solat pertama ketika jamak taqdim (maghrib/zohor), kami akan bergerak ke belakang masjid atau ke mana2 tempat yang asing daripada tempat asal kita solat pertama supaya kita dapat jamak berjemaah sama2.
Adakah perbuatan ini dibenarkan dan adakah sah solat saya dan keluarga saya?
Terima kasih, Jazakallah khair.
Jawapan
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Nisa’ ayat 101:
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
Merujuk kepada persoalan tuan, antara syarat sah solat jamak adalah berturut-turut iaitu dilakukan dua solat secara berturut-turut dan tidak diselangi dengan apa-apa perbuatan. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Baghawi bahawa : al-Muwalah (berturut-turut) adalah merupakan syarat sah solat jamak. Tidak boleh melakukan solat sunat antara dua solat tersebut dan juga tidak boleh duduk lama antaranya. Sekiranya dia memanjangkan tempoh antara kedua-dua solat jamak tersebut maka terbatallah jamak dan hendaklah dia melakukan solat kedua pada waktunya.
Namun, sekiranya tempoh terpisah antara dua solat jamak itu hanya sebentar maka ia tidak ada masalah. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Nawawi: Tidak ada masalah sekiranya waktu yang terpisah antara solat jamak itu hanya sekejap. .
Sehubungan itu, tiada masalah untuk menukar tempat solat ketika di antara solat jamak jika dalam tempoh yang tidak terlalu lama dan sah solat tuan dan keluarga. Bahkan, bertukar tempat sujud juga adalah disunatkan.
Sekian, terima kasih.