Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti...
Saya akan mengerjakan umrah untuk kali ke dua dalam masa terdekat. Saya akan masuk Mekah dari Madinah. Saya nak tanya soalan berkenaan niat umrah bersyarat...
Terlebih dahulu. Umur saya 49. Situasi saya sekarang ini adalah saya sudah buat operation buang rahim jan 2024. Alhamdulilah dah sembuh. Cuma jarang atau kadang ada masanya ada kesan sampingan ringan dari operation tersebut tetapi tidak teruk dan tidak berpanjangan seperti rasa senak dan kejang.
Saya cuma nak tahu. Memandangkan saya sudah tidak lagi didatangi darah haid dan sebagainya. Bolehkah saya niat bersyarat ini : "Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, jika aku terhalang oleh halangan syara' maka ketika itu aku bertahalul kerana Allah Ta'ala"?
Dan dari beberapa info yang saya dapat. Halangan syara' ini tidak semestinya haid. Boleh jadi perkara halangan lain yang tidak terjangka.
Mohon petunjuk untuk situasi saya ini. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, niat syarat dalam umrah dan haji tidak terhad hanya pada situasi seseorang yang berkemungkinan didatangi haid. Justeru, seseorang boleh berniat syarat dalam umrah atau haji sekiranya dikhuatiri akan didatangi haid, sakit tenat atau sebarang penyakit yang boleh menghalangnya daripada menyempurnakan ibadah umrah.
Sekian, terima kasih.