Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
As Salam Ustaz / Ustazah,
Apakah hukum jika kita membaca al-fatihah di dalam solat, tetapi tidak memanjangkan bacaan pada tempat yang sepatutnya? contoh kita tidak memanjangkan bacaan menjadi 2 harakat atau kita memanjangkan bacaan melebihi 2 harakat untuk mad asli..begitu juga dengan bacaan tahiyat akhir yang tidak mengikut kadar bacaan harakat panjang pendek... adakah solat masih sah?
Jawapan
Membaca surah al-Fatihah adalah salah satu rukun solat. Jadi wajib untuk kita membacanya berserta makhraj dan tajwid yang betul. Wajib untuk kita menjaga bacaan surah al-Fatihah pada setiap huruf agar tidak berkurang atau tertukar. Wajib juga kita jaga bacaan syaddah dan juga panjang pendek harakat surah al-Fatihah.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, kesalahan tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain, serta kesalahan makhraj bukanlah kesalahan yang membatalkan solat dan kesalahan ini disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi). Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna sesuatu ayat seperti menukar baris ayat, merubah huruf, menambah huruf dan mentasydidkan huruf yang tidak bertasydid dan sebaliknya. Kesalahan ini dikategorikan sebagai Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas).
Oleh demikian, solat saudari masih sah tetapi telah mengurangkan pahala solat kerana tidak membaca dengan bacaan yang sempurna. Justeru, saudari perlulah sentiasa memperbaiki bacaan al-Quran dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkelayakan. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 4:
Maksudnya: Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.
Sekian, terima kasih.