Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz/ustazah
Soalan 1
3 tahun lepas, setokin saya kebasahan kerana saya berjalan di tepi masjid untuk ke tempat kasut saya dalam hujan lebat. Sampai di kereta saya membuka kasut saya kerana setokin sangat basah dan terbau air kencing pada setokin. Saya betul betul terlupa membasuh kasut tersebut. Selepas kejadian saya ada memakai nya dan lebih setahun yang lepas kasut tersebut telah pun saya buang. Setokin memang akan sentiasa di ganti.
Sekarang saya teringat dan khuatir andai najis telah tersebar kerana sepanjang tempoh memakai kasut tersebut saya sudah pergi ke merata rata tempat termasuklah ke ruang solat masjid, pusat tahfiz, rumah saudara mara dan sebagai nya. Seingat saya, setokin dan kaki saya sentiasa dalam keadaan kering ketika memakai kasut tersebut.
Bagaimana pula jika setokin dan kaki saya dalam keadaan basah ketika memakai kasut tersebut. Perlukah saya membersihkan tempat tempat tersebut. Jika perlu bagaimanakah caranya kerana kejadian sudah lama berlaku dan akan timbul banyak kesukaran.
Minta pencerahan dari ustaz/ustazah.
soalan 2
Kasut 1 - tapak kasut terpijak bekas tapak kaki anjing yang ada lumpur di lantai simen di kaki lima deretan kedai. Keadaan lantai adalah kering. Tapak kasut tidak pasti kering atau basah tetapi lantai yang di pijak oleh kasut memang tiada kesan basah ketika itu. Tidak periksa tapak kasut ketika itu kerana terlalu panik. Bila sampai di rumah saya belek tapak kasut saya dan saya dapati ada sedikit kesan basah. Kesan lumpur melekat sukar untuk di kesan kerana tapak kasut sudah sedia hitam kerana tidak pernah di basuh. Tiada bau najis pada tapak kasut. Adakah tapak kasut tersebut perlu kepada proses sertu atau boleh hanya di basuh sahaja.
Kasut 2 - saya berjalan di jalanan yang saya dapati ada anjing anjing liar merayau rayau di sekitar jalanan tersebut. Ada juga kelompok kelompok najis di tepi tepi jalan dan di depan kedai kedai. Tiada kesan najis pada tapak kasut. Perlukah kasut tersebut di sertu atau hanya perlu di basuh sahaja.
Soalan 3
Selepas proses sertu perlukah di sertu pula segala peralatan, paip, singki, tangan, kaki, lantai dan pakaian yang terkena air dan percikan nya ketika proses sertu walaupun sudah tiada ain najis.
Terima kasih ustaz/ustazah
.
Jawapan
Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak).
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Merujuk kepada persoalan puan,
1) Tiada lagi najis yang tersebar kerana kejadian telah pun lama berlaku serta tidak dapat dipastikan juga terdapatnya najis pada kasut tersebut selama ianya digunakan atau dipakai. Semua kawasan yang dipijak atau terkena pada kasut tersebut adalah kekal suci.
2) Kasut:
Kasut (1) - Tidak perlu sertu kasut atau pada tapak kasut tersebut kerana tiada najis padanya, maka ia kekal suci.
Kasut (2) - Tidak perlu sertu kasut kerana tiada najis padanya, maka ia kekal suci.
3) Tidak perlu disertu segala peralatan, paip, singki, tangan, kaki, lantai dan pakaian apabila terkena percikan air semasa proses sertu dilaksanakan.
Sekian, terima kasih.