Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Suatu hari, ketika saya memandu kenderaan, terdapat seekor anak anjing ditengah jalan raya yang mana, tiada kenderaan yang benar-benar berhenti dan tiada siapa yang cuba untuk membantu anak anjing tersebut. Tambahan pula ketika itu baru lepas hujan/hujan renyai. Saya mengambil keputusan untuk berentikan kereta dibahu jalan, menahan kenderaan lain dan dengan menggunakan tapak sandal saya, saya menolak anak anjing tersebut ke tepi jalan. Saya tahu sandal saya dah dikira najis. Saya masuk semula ke dalam kenderaan dan teruskan perjalanan.
Disebabkan saya tahu sandal tersebut telah bernajis (sebab tolak anak anjing dalam keadaan tapak sandal saya basah), saya buat ke keputusan untuk buang dan beli sandal baru.
Persoalannya,
1. Saya dah pijak alas kaki, pedal minyak dan padel brake dalam kenderaan menggunakan sandal lama. Adakah saya perlu sertu kesemua peralatan tersebut? Agak sukar untuk sertu pedal minyak, brake dan alas kaki.
2. Adakah sandal baru saya juga jadi najis sebab memijak alas kaki yang mana, tapak sandal lama digunakan untuk menolak anak anjing?
3. Adakah benar, benda seperti tapak sandal dikira suci walaupun tidak sertu disebabkan ianya akan memijak pasir, tanah yang bersifat seumpama proses sertu, sana seperti keadaan tayar kereta atau seluar/kain yang labuh hingga mencecah jalan/tanah/pasir?
4. Apakah status kawasan lain yang saya pijak menggunakan sandal baru seperti alas kaki bahagian belakang kereta sekiranya sandal baru juga dikira najis? Lebih teruk apabila terdapat mainan anak yang jatuh diatas alas kaki bahagian belakang yang telah dipijak saya dengan sandal baru dan dikutip dan dipegang oleh anak-anak.
5. Apakah yang perlu sy buat dalam situasi sekarang sekiranya najis dah merebak disebabkan saya telah memijak kawasan lain dalam dan luar kenderaan.
Terima kasih.
Jawapan
Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
1) Perlu sertu jika diyakini terdapatnya najis (bulu anjing) pada tapak sandal tersebut dan mengenai pada alas kaki, padel brek dan pedal minyak kereta tersebut. Jika tidak dapat diyakini terdapatnya najis pada tapak sandal tersebut, maka semua kawasan yang dipijak adalah kekal suci dan tidak perlu disertu.
Berdasarkan kaedah fiqh dan pandangan ulama (terutamanya dalam Mazhab Syafi'i, yang diikuti di Malaysia), adalah seperti berikut:
2) Sandal yang baru kekal suci kerana tiada najis pada alas kaki tersebut. Berdasarkan kaedah Fiqh yang menyatakan:
Maksudnya: "Asal bagi sesuatu adalah kekal atas apa yang ia sedia ada, sehingga dibuktikan dengan yakin akan perubahannya."
Selagi puan tidak yakin atau tidak pasti dengan jelas bahawa najis mughallazah telah berpindah dalam keadaan basah, maka segala objek (meja, beg, lantai, dan lain-lain) dianggap suci pada asalnya dan tidak perlu disertu.
3) Tidak benar, kerana sekiranya tapak sandal, tayar kereta dan hujung kain diyakini telah terkena najis anjing ianya wajib disertu juga. Sekiranya tidak diyakini telah terkena najis anjing, maka ia dihukum suci.
4) Tidak najis kawasan yang dipijak menggunakan sandal yang baru.
5) Najis tidak merebak ke kawasan lain.
Sekian, terima kasih.