BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Sy ada penyakit was was tp hanya berlaku ketika sy berpuasa. Was was seperti rasa gusi berdarah, rasa sisa makanan dll. Sy tahu ttg yakin tidak dihilangi oleh syak tp susah utk sy ikut. Sy cuba utk ignore tp takut ibadah puasa sy terbatal. Soalan saya:

1) Bolehkah sy ignore rasa itu tanpa cek? Utk sy elak drpd bertambah was was + terlalu menjaga. 

2) Adakah ibadah sy sah jika sy ignore was was itu walaupun ada kemungkinan apa yg sy was was kan itu betul? Adakah utk kes saya diberikan keringanan dan keampunan Allah kena salah buat judgement?
 
3) Patutkah sy teruskan puasa itu dan berserah kepada Allah ttg sah atau tidak puasa saya. Sy hanya buat sekadar mampu saya kerana sy sedang melawan penyakit ini. 

Mohon bantuan. Jika sy boleh pratikkan hal ini, sy sgt sgt bersyukur.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Was-was adalah suatu penyakit yang datang daripada syaitan. Syaitan akan menggunakan pelbagai cara untuk menyesatkan manusia. Antara cara yang digunakan adalah dengan menimbulkan perasaan was-was di dalam diri manusia. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Naas ayat 5:

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia

Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah.

Menjawab persoalan saudari berkaitan isu was-was ini, jika timbul perasaan was-was terhadap sesuatu perkara, sama ada sisa makanan atau bendasing dalam mulut kita,  kita perlu mengabaikan sahaja perkara itu kecuali memang saudari amat yakin memang ada sisa makanan atau bendasing tersebut. Sekiranya ia hanya perasaan yang tak pasti samada ada atau tidak maka abaikan sahaja perasaan itu. 

Walapun begitu, adalah lebih baik sekiranya saudari berusaha menghilangkan perasaan was-was itu dengan berkumur setiap kali sebelum menunaikan solat atau ketika ada rasa bendasing dalam mulut, dengan syarat tidak berlebihan kerana dikhuatiri boleh membatalkan puasa.

Kesimpulannya dalam perkara was-was ini, sebagai contoh, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti, maka dia tidak perlu berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

Adalah disarankan agar pihak saudari sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dihilangkan dari masalah was-was yang dialami. Di bawah terdapat cara-cara yang dapat membantu mengubati penyakit was-was. Semoga Allah SWT berikan taufiq dan hidayah selalu.

Cara mengubati penyakit was-was:

  1. Berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT.
  2. Sentiasa mendampingi para ulama’ dan orang-orang yang soleh.
  3. Sentiasa melazimi dan mendalami ilmu agama
  4. Sentiasa melazimi zikir kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan.
  5. Sentiasa optimis dalam setiap amalan harian kita.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 21

message user image