BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Apa hukumnya jika saya telah bernazar untuk bersedekahkan RM50 kepada persatuan Amal selepas saya telah mendapat kerja, tetapi selepas beberapa tahun saya dilepaskan Dari pekerjaan akibat pengubahan organisasi dan saya tidak dapat pekerjaan baru Dalam masa terdekat. Adakah Nazar tersebut Masih perlu ditunaikan walaupun saya susah tidak bekerja?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan pertanyaan tuan, apabila sesuatu perkara yang dihajatkan telah tertunai maka tuan wajib untuk melakukan qurbah berdasarkan nazar yang dilafazkan sebagai balasan kerana memperolehi nikmat atau hajat yang tuan inginkan itu. Tuan perlu berusaha untuk menenunaikan nazar tersebut sebagaimana disyaratkan. Seandainya terdapat halangan yang menyebabkan tuan tidak dapat menunaikan nazar tersebut, maka tuan perlu membayar kaffarah dengan memilih salah satu daripada tiga pilihan berikut: memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau memerdekakan hamba (sekiranya ada). Selain itu, pembayaran kaffarah juga boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri. Sekiranya ketiga-tiga perkara tersebut tidak mampu ditunaikan, maka wajib berpuasa selama tiga hari, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 89.

Sila kunjungi Pejabat Majlis Agama Islam terdekat atau klik pautan berikut untuk maklumat lanjut Kaffarah MAIS

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 23

message user image