Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,saya ingin bertanya pada pihak tuan,apakah hukum bermain badminton(di sewa)di dalam dewan yang dibiayai oleh Gereja dan dalam dewan badminton itu terdapat patung dan salib..sedangkan terdapat juga dewan dewan lain untuk disewa,tetapi kesukaran untuk urusan penempahan court sentiasa penuh.manakala dewan yang dibiayai senang untuk ditempah dan lebih mutah dari dewan dewan lain..tolong bagi pencerahan
Jawapan
Hukum menyewa dewan yang dibiayai oleh rumah ibadat bukan Islam bagi tujuan aktiviti sukan adalah harus dan dibenarkan, selagi mana penggunaan tersebut tidak melibatkan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan syariat Islam. Antara perkara yang perlu dielakkan ialah:
Memuliakan atau mengagungkan agama lain
Menunjukkan penghormatan yang bersifat keagamaan
Menyertai atau terlibat dalam ibadah dan ritual keagamaan
Menyerupai perbuatan khusus agama lain yang mempunyai unsur keagamaan
Manakala pembayaran sewaan dewan tersebut juga adalah harus, kerana ia menepati konsep mu‘amalat yang dibenarkan antara orang Islam dan bukan Islam, selagi mana akad yang berlaku adalah sah dan tidak melibatkan perkara yang diharamkan.
Hal ini selari dengan amalan Rasulullah SAW yang bermu‘amalat dengan orang bukan Islam. Antaranya, Baginda SAW pernah membeli makanan secara berhutang daripada seorang Yahudi dan menjadikan baju besi Baginda sebagai cagaran. Peristiwa ini diriwayatkan dalam hadis sahih dan menjadi dalil keharusan berurusan dalam hal mu‘āmalāt dengan bukan Islam.
Sekian, terima kasih.