Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bapa saya meninggal tak lama yang lalu, dan ibu saya yang berumur 77 tahun ketika ini sedang menjalankan iddah. Saya sedang menemani beliau buat masa ini kerana ahli keluarga yang lain tinggal jauh. Soalan saya adalah, dalam masa terdekat nanti, saya diperlukan untuk pergi jauh dari rumah ibu saya untuk urusan yang tak dapat ditangguhkan. Bolehkah saya membawa beliau bersama saya sehingga urusan itu selesai, kerana saya bimbang dengan situasinya jika dibiarkan keseorangan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tersebut, jika urusan itu di waktu siang maka saudara boleh membawa ibu bersama. Ini berdasarkan kepada riwayat Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda:
Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi)
Walau bagaimanapun, jika urusan itu sehingga malam atau berhari-hari, sebaiknya ada anak-anak lain yang menjaga ibu sementara saudara menyelesaikan urusan tersebut. Namun sekiranya tiada pilihan lain, maka harus bagi anak membawa bersama ibu bersama-sama.
Sekian, terima kasih.