BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum. Saya hendak bertanya beberapa soalan tentang agama anak luar nikah. Saya sangat musykil dan banyak persoalan dalam minda saya. Semasa ayah saya pulang dari urusan imigresen, jpn dan jais. Ayah baru tahu saya tidak mempunyai agama kerana saya adalah anak luar nikah. Sy tidak lah terkejut sebab saya tahu semua ini semasa berumur 13 tahun ketika mencari sijil nikah ibu bapa dan cuba buat kiraan tarikh dari mereka nikah dan tarikh saya dilahirkan . Cuma saya tidak terlalu matang memikirkan semua itu dan tidak cuba bertanya kedua ibu bapa.

Ketika ibu mengandungkan saya . Dia masih beragama kristian dan 3 atau 4 bulan mcm tu sebelum sy dilahirkan, ibu dan ayah bernikah hujung bulan 5 . Dan ibu pula baru mualaf sebulan sebelum nikah. Saya di lahirkan pada bulan september. Jais memberitahu ayah bahawa saya tidak mempunyai agama. Kerana saya dilahirkan beragama dan berbangsa Dayak pagan(tiada agama). Detail dlm ic saya pun agama diletakkan bidayuh dayak land. Bukan agama Islam . Jadi saya perlu mengucap 2 kalimah syahadah di Jais. Ini sy tidak pasti kenapa. Persoalannya :

1. Adakah saya solat selama ini tidak sah/ tidak diterima Allah ? Sbb syarat wajib solat adalah beragama islam.

2. Adakah selama saya mengerjakan puasa juga dikira tidak sah puasa?

3. Apa hukum bila ayah dah tahu tentang agama saya ini salah tapi dia memaksa saya solat seawal waktu azan kerana risau akan dosa lama nya tidak di ampunkan?

4. Saya dan abg sulung sy anak luar nikah . Tetapi abang tidak tahu yang dia bukan beragama islam ketika ini dan dia sudah berkahwin dan di walikan oleh jbtn agama islam johor. Adakah sah perkahwinan abang dan kakak ipar sy?

5. Berdosa besarkah jika saya betulkan keadaan dengan mengatakan nasab ayah dan anak luar nikah adalah bukan mahram? Sebab dia mengatakan dia lebih tahu agama islam lebih dari apa yang saya belajar selama ini.

6. Seawal saya berumur 5 tahun saya sudah pandai solat, mengaji, berpuasa, baca jawi kerana kelas kafa dan mengaji. Sampai sekarang saya masih tertanya adakah semua yg saya buat adalah sia-sia kerana saya bukan beragama islam?

Saya betul-betul musykil, jadi tanda tanya, tidak tahu apa yang saya patut buat, saya buntu dan tertekan sampai terpaksa ke klinik psikiatri kerana terlalu banyak berfikir dan bertanya diri sendiri. Saya harap ada jawapan untuk soalan saya serta seberapa banyak yang boleh untuk saya berhenti menyalahkan diri sendiri.

Sekian dari saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan saudari :

1. Dalam kalangan Syafi‘iyyah berpandangan bahawa asal setiap anak itu adalah Islam, ibu bapa merekalah yang menentukan apakah agama anak tersebut dan apabila ibu/bapa masuk Islam maka anak itu akan kembali kepada fitrah asalnya iaitu Islam. Ini sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata : Bersabda Rasulullah SAW :

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya : Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci, bersih, cenderung kepada Islam). Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi. (Riwayat Al Bukhari)

Menurut Imam al-Syirbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj : 

وَالْوَلَدُ الْمَوْلُودُ مِنْ زِنًى يُنْسَبُ إِلَى أُمِّهِ دُونَ أَبِيهِ، وَيَكُونُ دِينُهُ دِينَ أُمِّهِ إِذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ أَبٌ شَرْعًا

Maksudnya : Anak yang lahir daripada zina dinasabkan kepada ibunya, bukan kepada bapanya, dan agamanya adalah agama ibunya apabila tiada bapa yang sah menurut syarak.

Oleh yang demikian, berdasarkan Qaul muktamad Syafi‘i: Anak luar nikah ikut agama ibunya sahaja, bukan ayah biologi. Dan dalam kes saudari, ketika saudari lahir, ibu saudari telah memeluk Islam maka dari sudut hukum syarak saudari adalah secara automatik adalah Islam bila ibu telah memeluk Islam walaupun mungkin baru sebulan. Ini adalah berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Rawdat al-Ṭalibin : 

وَإِذَا أَسْلَمَ أَحَدُ الْأَبَوَيْنِ، حُكِمَ بِإِسْلَامِ الْوَلَدِ، لِأَنَّ الْإِسْلَامَ يَعْلُو وَلَا يُعْلَى

Maksudnya : Apabila salah seorang daripada ibu bapa masuk Islam, maka anak dihukumkan Islam, kerana Islam itu mengatasi dan tidak ada yang mengatasinya.

2. Adapun berkaitan dengan prosedur untuk memperbetulkan semula maklumat agama sudari di dalam kad pengenalan, saudari boleh mendapatkan panduan dan maklumat lanjut dengan merujuk kepada Bahagian Pendaftaran Muallaf & Pembangunan PIBK, Majlis Agama Islam Selangor ditalian 03-3361 4000 atau boleh terus ke Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 2, Kompleks MAIS Klang, Lot 336, Jalan Meru Off Jalan Kapar, 41050 Klang Selangor Darul Ehsan.

3. Berkaitan dengan amal ibadah yang saudari lakukan selama ini pula, ia adalah sah, kerana saudari memenuhi syarat sah ibadah kerana saudari adalah beragama Islam sebagaimana yang telah dijelaskan pada jawapan nombor 1 di atas, walaupun dari sudut dokumentasi di dalam kad pengenalan tertulis bukan beragama Islam, tetapi hakikat hukum syaraknya saudari adalah Islam. Maka semua persoalan berkaitan ibadah atau sebagaimanya saudari adalah tertakluk sebagai seorang Muslim.

4. Pertanyaan berkaitan perkahwinan abang saudari yang berkahwin dan perkahwinan mereka diwalikan oleh pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Johor pula :

    a) Berdasarkan prosedur yang digunapakai di setiap negeri di Malaysia, mana-mana permohonan berkahwin adalah melalui proses semakan yang teliti dan perlu melalui semakan daripada Penolong Pendaftar Perkahwianan di peringkat kariah untuk sokongan dan seterusnya disemak pula oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah untuk kelulusan atau kebenaran berkahwin. Selepas mendapat kelulusan barulah pasangan akan dikahwinkan sesuai dengan kesempurnaan hukum syarak dan dokumentasi pentadbiran. Maka sudah pasti perkahwinan abang saudari telah melalui proses yang menepati hukum syarak dan undang-undang sedia ada bagi memastikan perkahwinan tersebut sah pada hukum syarak dan menepati undang-undang yang ada.

    b) Dalam hukum syarak anak luar nikah tidak dinasabkan kepada ayah biologinya, tetapi dinasabkan kepada ibu. Kalau anak luar nikah itu adalah perempuan maka wali nikahnya adalah wali hakim bukan bapa biologinya. Adapun sekiranya anak luar nikah itu adalah lelaki, maka masalah wali tidak timbul kerana lelaki tidak perlu wali untuk nikah, jadi akad nikah abang saudari adalah sah, asalkan perkahwinan tersebut memenuhi rukun dan syarat nikah.

5. Anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, iaitu tidak boleh dibin/bintikan kepadanya, tidak boleh menjadi wali dan tidak boleh menerima harta pusaka, tapi boleh menerima wasiat. Namun apabila bapa biologi itu bernikah dengan ibu anak tersebut, maka bapa biologi itu menjadi bapa tirinya, yang mana bapa tiri menjadi mahram dan tidak boleh berkahwin selama-lamanya walaupun bapa tiri itu bercerai dengan ibunya.

Rumusan, saudari harus yakin dan percaya bahawa amal ibadah saudari selama ini adalah tidak sia-sia sama sekali. Allah Maha Adil. Jika saudari beribadah kerana Allah SWT, walaupun status kad pengenalan atau undang-undang belum jelas, tapi yakinlah bahawa Allah Maha Tahu isi hati saudari. Malah, amalan sejak kecil itu menjadi saksi kecintaan saudari kepada Islam. Yakinlah dengan sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مُؤْمِنًا حَسَنَةً

Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seorang mukmin walau satu kebaikan. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 62

message user image