Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan.
Saya memerlukan penjelasan berkenaan masalah perkahwinan. Saya dan suami sudah tidak serumah selama 4 bulan berturut. Kami juga tidak melakukan hubungan badan dan suami tidak memberi nafkah secukupnya kepada saya.
Soalan saya, adakah taklik yg dilafazkan selepas akad nikah iaitu meninggalkan isteri secara paksaan atau sukarela selama 4bulan (merujuk taklik Selangor), sah dan boleh dirujuk di mahkamah syariah? Untuk pengetahuan, suami sudah berpindah ke negeri lain sejak 1 May 2025 sehingga kini.
Jawapan
Berdasarkan kenyataan puan bahawa:
a) Puan telah tidak tinggal serumah dengan suami sejak 1 Mei 2025 hingga sekarang, bermakna sudah lebih 4 bulan berturut-turut.
b) Tidak ada hubungan suami isteri iaitu nafkah batin dalam tempoh tersebut.
c) Berlaku juga pengabaian dari sudut nafkah zahir
Maka dalam situasi ini, jika puan tidak reda maka puan sebagai isteri berhak membuat aduan di Mahkamah Syariah untuk pengesahan lafaz taklik tersebut. Untuk makluman puan, talak tidak jatuh secara automatik walaupun syarat taklik berlaku, tetapi puan boleh buat aduan di Mahkamah Syariah Selangor yang berhampiran dengan tempat tinggal puan dan akan berlaku perbicaraan berdasarkan tarikh yang pihak mahkamah tetapkan. Dalam perbicaraan itu, Yang Arif hakim akan meneliti bukti-bukti dan mungkin keterangan saksi-saksi dari pihak isteri. Dan sekiranya dibuktikan benar dan sabit bahawa suami telah meninggalkan isteri tanpa nafkah, tanpa hubungan suami isteri, dan lebih 4 bulan, maka Yang Arif hakim boleh memerintahkan pasangan tertalak dengan cara talak khulu' yakni tebus talak dengan bayaran RM 10.00 sebagaimana yang dinyatakan di dalam taklik tersebut.
Sekian, terima kasih