Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Dato'/Ust. Semasa Solat Asar, Imam (bukan Imam Tetap) telah terlebih 1 rakaat (menjadi 5) tanpa ditegur oleh makmum, semasa Imam bangun untuk rakaat kelima, 8 - 10 makmum yang berada di hujung saf terlindung dengan makmum yang bersolat atas kerusi terus duduk tahyat akhir kerana memang yakin rakaat ke 4. Soalan saya adakah makmum yang tidak ikut Imam perlu menunggu Imam selesaikan rakaat ke 5 dan memberi salam bersama Imam, atau mufarakah kerana sudah tidak mengikut Imam pada rakaat yang lebih tu. Mohon penjelasan Dato'/Ust. Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam keadaan yang dinyatakanm, makmum yang yakin imam tersebut telah menambah rakaat haram mengikut imam dan perlu menegur imam dengan lafaz “subhanallah”. Jika imam tidak hiraukan teguran tersebut maka makmum yang yakin imam tersebut telah salah mempunyai dua pilihan, iaitu; i Duduk dan selesaikan bacaan di tasyahud akhir dan tunggu untuk memberi salam bersama-sama imam, atau ii Mufaraqah iaitu niat berpisah daripada imam dengan duduk dan memberi salam setelah selesai bacaan di tasyahud akhir tanpa menunggu imam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.