Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Boleh ke kita makan makanan yang dibuat di kilang yang sama mengeluarkan makanan mengandungi kandungan khinzir meskipun makanan tersebut bebas daripada sebarang jenis daging/benda yang tidak halal? Adakah selamat untuk dimakan?
Kalau di luar negara seperti Korea mostly makanan di kedai runcit satu kilang dgn barangan yg mempunyai khinzir.
Terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya daging khinzir merupakan najis berat. Begitu juga dengan peralatan atau perkakas yang diguna atau terkena daging khinzir wajib dibasuh sebanyak 7 kali, dan basuhan pertama hendaklah dicampur dengan tanah. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.” (Riwayat Muslim)
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, pengeluaran produk oleh kilang yang sama dalam mengeluarkan makanan mengandungi ramuan khinzir meskipun makanan tersebut bebas daripada sebarang jenis daging atau benda yang tidak halal, maka ia di dalam kategori syubhah. Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan”. (Riwayat Muslim)
Jika sesuatu produk tersebut mempunyai sijil Halal yang diiktiraf (seperti JAKIM di Malaysia atau badan yang diiktiraf), ini bermakna pihak berwajib telah melakukan audit persijilan dan mengesahkan bahawa pihak pengilang telah mematuhi prosedur yang ketat, termasuk langkah-langkah untuk mencegah pencemaran silang dan melaksanakan proses sertu ke atas peralatan yang dikongsi mengikut piawaian syariah.Dalam keadaan ini, makanan tersebut adalah Halal untuk dimakan kerana prosedur persijilan halal telah dipenuhi.
Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan untuk mempastikan kehalalan makanan dan perlu menggunakan produk yang telah dipersijilkan Halal. Ini adalah cara paling selamat kerana produk yang telah dipersijilkan Halal telah diproses mengikut keperluan syariah dan bebas daripada sebarang ramuan atau percampuran yang meragukan. Namun, jika keraguan timbul apatah lagi produk tersebut tidak dipersijilkan Halal, adalah lebih baik untuk meninggalkannya (menjauhi syubhah).
Sekian, terima kasih.